Thursday, August 27, 2009

PENDEKATAN MESRA RAKYAT MELALUI MESYUARAT PENYELARAS MUKIM

Kerpan: 12 Mei 2005
Catatan oleh: Mohd Asri Redha.

Komunikasi dua hala antara rakyat dan jabatan-jabatan kerajaan adalah amat perlu dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya dan jabatan pula dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Pendekatan yang sesuai untuk tujuan tersebut dalam konteks pentadbiran daerah ialah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Mukim.

Inilah yang dilakukan oleh Pejabat Daerah Kubang Pasu dan Pejabat Daerah Kecil Jerlun dimana pada 12 Mei 2005, Pegawai Daerah Kubang Pasu Dato’ Hj Hashim Ahmad, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Daerah Kecil Jerlun Hj Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman, Penghulu Mukim Jerlun dan Sanglang telah turun ke padang untuk bertemu JKKK melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Mukim Jerlun dan Sanglang yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam.

Melalui mesyuarat seperti ini dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan secara langsung kepada pemimpin diperingkat akar umbi, manakala pemimpin JKKK pula dapat mengemukakan pandangan, pendapat serta permohonan kepada jabatan-jabatan kerajaan untuk penilaian dan pertimbangan.

Dalam ucapan aluan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Daerah Kecil Jerlun telah memberikan maklumat-maklumat penting berkenaan JKKK serta peranan yang harus dimainkan dengan lebih berkesan supaya tidak hanya berbincang berkenaan keperluan projek infrastruktur semata-mata. Beliau juga mengambil kesempatan menerangkan akan peranan Pejabat Daerah Kecil Jerlun ini dalam konteks pentadbiran Daerah Kubang Pasu dan Kerajaan Negeri Kedah. Ini penting supaya penduduk termaklum akan peranan PDK Jerlun ini dan mengambil peluang dan kesempatan sepenuhnya atas kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini.

Dato’ Hj.Hashim Ahmad telah menggariskan 4 program besar yang menjadi keutamaannya untuk dilaksanakan dalam memperkasakan masyarakat luarbandar khususnya kaum bumiputera dalam daerah Kubang Pasu ini. Program tersebut ialah membangunkan kemahiran masyarakat desa, memperkemaskan atau membangunkan organisasi-organisasi/institusi-institusi masyarakat yang ada dalam daerah Kubang Pasu, mengujudkan peluang-peluang pekerjaan melalui pembangunan industri kecil dikampong-kampong dan penjaja-penjaja kecil dan yang akhirnya melalui pembangunan wanita samada keusahawanan, kemahiran dan sebagainya. Inilah pendekatannya yang pandangan beliau jika penduduk memberi perhatian dan komitmen yang jitu , bangsa melayu dapat dimartabatkan kepada kedudukan yang lebih tinggi samaada dalam bidang ekonomi atau sosial. Program yang akan dilaksanakan ini telah mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan seperti institusi-insitusi kemahiran tempatan dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Sultanah Bahiyah dan sebagainya.

Pada akhir sessi mesyuarat tersebut telah diadakan majlis dialog antara Pengerusi/Setiausaha JKKK dimana banyaklah perkara-perkara yang dibangkitkan untuk diambil perhatian dan tindakan pihak kerajaan. Antara isu-isu yang dibangkitkan ialah keperluan kemudahan infrastruktur awam, gejala-gejala sosial, pembangunan ekonomi, dan juga isu-isu keselamatan. Semua isu-isu yang dibangkitkan ini telah direkod dan akan dikemukakan kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk penelitian dan pertimbangan sewajarnya.





No comments:

Post a Comment