Thursday, August 27, 2009

MEMBINA KETAHANAN JATI DIRI DAN KETAHANAN FIZIKAL SERTA MENTAL MELALUI PELAYARAN DILAUT

25.02.2005..Langkawi

Catatan oleh : Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman


Perancangan dan pelaksanaan Pelan Tindakan Kedah Maju 2010 memerlukan pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah yang mempunyai keupayaan yang luarbiasa dan tinggi daya usaha bagi merealisasikannya mengikut tempoh yang ditetapkan. Sehubungan itu pegawai-pegawai kerajaan perlu ada ketahanan dalam segala aspek samaada ketahanan mental, ketahanan fizikal serta kemampuan berfikir yang luar biasa dengan lebih proaktif dan kreatif. Ini adalah kerana kerajaan negeri telah menetapkan ‘target’ yang begitu tinggi dalam masa yang semakin singkat untuk mencapai Kedah Maju 2010.



Menyedari hakikat inilah maka atas idea kreatif Y.A.B. Menteri Besar Kedah DA, kerajaan negeri telah merangka satu-satunya kursus yang luar dari kebiasaan iaitu ‘Sail Training & Team Building Program Voyage Langkawi to Streets Of Malacca’. Modiul kursus yang dirangka sebegitu rupa adalah untuk memberikan satu kelainan dalam pengajaran dan pembelajaran dan memberikan hasil yang amat berkesan kepada pegawai-pegawai yang mengikuti kursus tersebut. Dalam majlis perasmian kursus ini yang diadakan di Jeti Jabatan Laut Tg Lembung, Pulau Langkawi YAB Dato’ Seri Hj Syed Razak b. Syed Zain , Menteri Besar Kedah telah menegaskan kursus ini dibuat sebegini rupa untuk memberi pendedahan baru kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri selain memberi peluang belajar berkenaan ilmu pelayaran yang agak baru bagi kebanyakan peserta kursus. Pengalaman yang diperolehi dari kursus di atas kapal layar mewah S.T.S Puteri Mahsuri ini amat berguna dan boleh dijadikan sebagai panduan yang berkesan dalam mengemudi negeri Kedah kearah Kedah Maju pada tahun 2010.




Kursus Pelayaran Di Laut Dalam ini mendapat kerjasama sepenuhnya Institut Pengurusan Kedah dan Syarikat Wildernesss Centre Sdn Bhd iaitu salah satu anak syarikat Kumpulan Halim Mazmin Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam pengendalian kursus-kursus ‘out door’. Syarikat Kumpulan Halim Mazmin Bhd telah menyediakan sebuah kapal layar mewah yang amat berprestij dan mewah serta mempunyai sejarah uniknya yang tersendiri. Kapal ini telah beberapa kali menyeberangi Lautan Pasifik dengan membawa orang-orang kenamaan Jepun dan Amerika Syarikat. Kos ubahsuai kapal ini sahaja bernilai lebih RM20 juta. Sekarang ianya menjadi milik rakyat Malaysia

Sepanjang mengikuti kursus ini bermula dari 19 Feb 2005 hingga 25 Feb 2005, semua peserta yang berjumlah 33 orang yang terdiri Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Pegawai-Pegawai Agama Negeri Kedah, Ketua- Ketua Jabatan Negeri ,dan Jurutera-Jurutera JKR telah dilatih berkenaan konsep-konsep asas ilmu perkapalan dan pelayaran seperti ‘navigation watch’, ‘maritime lesson’, ‘Deck/Sail Watch’, ‘Setting Sail’ dan ‘Taking in Sails’. Peserta-peserta sendiri diberi peluang untuk mengemudi sendiri kapal layar yang beratnya 1,144 tonnes dan panjangnya 66 meter dengan berpandukan perkara-perkara asas yang diajari oleh Kapten Kapal dan krewnya. Kegiatan yang mencabar sepanjang latihan ini ialah mabuk laut dan semua peserta terpaksa memanjat 3 tiang layar yang begitu tinggi untuk memasang dan membuka layar yang jumlah luasnya 1,000 meter persegi. Walau pun pada mula sebahagian dari peserta kursus teragak-agak untuk memanjat melalui tangga tali sahaja tetapi dengan semangat kental dan kerja berpasukan akhirnya semua peserta tidak kira peringkat umur telah membuktikan bahawa ketinggian bukan lagi satu kegerunan dan masalah besar dan semuanya berjaya memanjat dan bekerja di palang tiang layar yang begitu tinggi untuk membuka dan mengikat layar kapal.



Sesuai dengan amanat YAB Menteri Besar Kedah agar Pelan Tindakan Kedah Maju 2010’ dijadikan bahan untuk perbincangan sepanjang kursus ini maka semua peserta telah mengambil bahagian yang aktif dalam perbincangan berkenaan Kedah Maju 2010. Perbincangan tersebut menjurus kepada produk-produk baru yang boleh diketengahkan sebagai pelengkap kepada program yang sedang berjalan sekarang. Pada akhir kursus satu resolusi berkenaan Pelan Tindakan Kedah Maju 2010 dari semua peserta kursus telah diserah kepada YAB Dato’ Seri Setia Di Raja Dato’ Seri Syed Razak b. Syed Zain , Menteri Besar Kedah dimajlis sambutan pulang peserta kursus di Jeti Tg. Lembung, Langkawi pada 25 Februari 2005.

No comments:

Post a Comment