Thursday, August 27, 2009

BEIJING, CHINA.. PUSAT TAMADUN BANGSA DAN SYURGA MEMBELI BELAH

Beijing, Cina; 06 Disember 2004


Kejayaan merealisasikan hasrat kerajaan Negeri Kedah untuk mengujudkan 3 daerah kecil di negeri Kedah menyebabkan Kerajaan Negeri Kedah telah menganugerahkan pakej lawatan kerja ke luar negara kepada semua kakitangan ketiga-tiga pejabat daerah tersebut. Memandangkan beberapa masalah tempahan penerbangan dan kos yang agak tinggi, cadangan awal lawatan ke Jakarta dan Bali Indonesia terpaksa ditukarkan kepada lawatan ke Beijing, Negara China.


Lawatan ini bermula 29 Nov. 2004 hingga 06 Dis. 2004. Seramai 7 orang kakitangan telah terlibat dalam lawatan ini. Di samping itu lawatan ini disertai bersama oleh beberapa rakan dan keluarga kakitangan bagi meramaikan lagi rombongan untuk memudahkan pakej lawatan diatur dalam kos yang lebih murah.

Menjejak kaki di China pada musim yang amat dingin dibawah 0’ Celcius khususnya kota Beijing yang berusia lebih 3,000 tahun dengan keluasan 16,808 km persegi, bagaikan impian.. tanpa diduga ianya menjadi kenyataan. Sepanjang 7 hari berada di kota ini dan kota Tianjin yang penuh keajaiban masa lalu, masa terasa begitu singkat. Banyak yang boleh dipelajari dan diamalkan semasa lawatan ini terutamanya menghayati semangat dan kegigihan masyarakat China di sana.




Lawatan ke Tembok Besar Negeri China (6,000 KM), Kota Larangan Maharaja China (Forbidden City/Imperial Palace) , Istana Musim Panas Maharaja China di Haidan, Dataran Tian’anmen (440,000 meter persegi) dan Masjid Niujie (di Kota Beijing) serta Masjid Haidian (di Kota Tianjin) setiap satunya mempunyai keunikan ceritanya yang tersendiri. Keunikan dan kehalusan senibinanya serta kebesarannya memang mengkagumkan dan kadang-kadang tidak terjangkau dalam fikiran bagaimana mereka boleh membina bangunan-bangunan tersebut dengan hanya kudrat tenaga manusia semata-mata lebih 2,000 tahun yang lalu. Semangat inilah yang perlu ditanam dalam diri kita supaya tamadun sesuatu bangsa Melayu itu dihargai, dihormati dan disegani.
Rombongan juga berkesempatan bertemu dengan masyarakat Islam di kota Beijing dan kota Tianjin. Kami sempat bersembahyang Jumaat di masjid Niujie kota Beijing dimana ianya agak berbeda dan menimbulkan sedikit kekeliruan ahli rombongan. Masjid yang berusia lebih 1,000 tahun ini berbentuk seperti tokong memang menjadi tumpuan pelancung Islam yang melawat ke kota Beijing. Merasa jugalah berjemaah dan mendengar khutbah dalam bahasa mandarin. Kemesraan persaudaraan seagama begitu terasa apabila masing-masing saling mengucapkan salam walaupun hanya berhubungan melalui senyuman.

Para rombongan juga telah melawat perusahaan-perusahaan milik negara China seperti di Pusat Perubatan Herba (China Preserving Health Training Center), Kilang Tea Dr.Tea, Kilang Jade ( Beijing Banner Jadeware City) , Kristal dan Pertunjukan Akrobatik milik kerajaan. Banyak juga wang dihabiskan disini disebabkan terpengaruh dengan cara pendekatan promosi yang diamalkan iaitu seperti pergi mendengar taklimat dengan praktikalnya sekali.

Tidak sempurnya rasanya lawatan jika tidak membeli-belah cenderamata dan barangan-barangan dari negeri China. kota Beijing dan kota Tianjin (2 jam perjalanan dari kota Beijing) memang syurga membeli belah. Dari barangan cenderamata kepada barangan jade, barangan kristal, alas meja, alas kusyen, pakaian musim sejuk, cadar , kain sutera dan sebagainya memang murah dan jika pandai tawar menawar akan mendapat harga yang amat murah. Tidak hairanlah setiap peserta yang semasa tiba di kota Beijing hanya sebuah beg besar tetapi bila pulang 3 beg penuh dengan bermacam-macam buah tangan yang dibeli disebabkan harganya yang amat murah sekali. Antara tempat membeli belah yang menarik dan harga murah ialah di Xiau Shui Market di Jiangiomen Waidajie dan Sanlitoun Yashow Clothing Market.

Satu perkara menarik di Kota Beijing ini ialah kurangnya berlaku kesesakan lalulintas walaupun penduduknya hampir 15 juta orang. Sebahagian besar penduduknya menggunakan basikal (11 juta basikal)untuk ke tempat kerja dan lori-lori hanya dibenarkan masuk ke kota Beijing pada waktu malam sahaja. Kenderaan bermotor hanya 2.2 juta sahaja. Motosikal amat kurang sekali. Jarang sekali berlaku kemalangan jalan raya. Pengangkutan awamnya ialah bas berenjin diesel dan bas berkuasa elektrik sentiasa penuh dengan penumpang. Jalan-jalannya agak lebar dan sepanjang jalan banyak sekali rumah flat atau apartment yang dibina oleh kerajaan atau oleh pihak swasta. Penguatkuasaan undang-undang amat ketat. Tidak ada aktiviti perniagaan ditempat-tempat yang tidak dibenarkan terutama ditepi-tepi jalan. Pembangunannya memang rancak sejak negeri ini dibuka kepada orang luar. Sememangnya melihat kepada kerancakan pembangunan ekonomi dan fizikal Kota Beijing China ini tidak hairanlah China akan menjadi kuasa ekonomi yang terbesar didunia.

No comments:

Post a Comment