Thursday, August 27, 2009

GDW MENGERATKAN HUBUNGAN ANTARA AGENSI KERAJAAN, SWASTA DAN RAKYAT

GERAKAN DAYA WAWASAN MENGERATKAN HUBUNGAN ANTARA AGENSI KERAJAAN, SWASTA DAN RAKYAT

14.04.05 : Kampung Teluk Tui, Mukim Jerlun

Tanggal 13 dan 14hb April 2005 yang lalu, ia merupakan hari yang amat bermakna bagi seluruh penduduk kampung Teluk Tui, Mukim Jerlun kerana pada tarikh tersebut telah berlangsung upacara perasmian Program Mesra GDW (Gerakan Daya Wawasan) di kampung mereka. Program ini telah dianjurkan bersama oleh Pejabat Daerah Kubang Pasu, KEMAS serta GDW Kampung Teluk Tui.

Program GDW (Gerakan Daya Wawasan) yang mana dahulu dikenali sebagai Gerakan Desa Wawasan adalah program yang dirangka khusus untuk pembangunan insan sesebuah kampung berdasarkan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Program yang boleh dianggap sebagai ‘Program 2 dalam 1’ ini, selain dari dapat mengeratkan hubungan diantara agensi kerajaan, swasta, pemimpin dan rakyat, contohnya seperti melalui aktiviti gotong- royong dan program anak angkat, ia juga mampu untuk memberi peluang kepada belia- beliawanis berinteraksi antara satu sama lain dan saling bertukar ilmu pengetahuan, serta memberi peluang kepada belia- beliawanis yang bakal menjadi seorang pemimpin tentang realiti kehidupan masyarakat desa.

Pengisian program- program yang diaturkan telah menarik minat semua agensi kerajaan dan swasta untuk ‘turun padang’ mengadakan pamiran serta memberi perkhidmatan dengan mendekati rakyat dengan lebih berkesan.

Kesempatan ini juga telah diambil oleh Pejabat Daerah Kecil Jerlun untuk bersama- sama ‘turun padang’ bagi memeriahkan lagi program ini dengan cara memberikan khidmat nasihat berkenaan hal- hal urusan tanah dan pembangunan.

Sempena majlis tersebut, pelbagai acara yang melibatkan penyertaan penduduk kampong turut diadakan, selain dari pameran dan jualan, pertandingan memasak dan gubahan diantara kampung- kampung GDW turut diadakan. Tidak ketinggalan juga pertandingan melukis yang diadakan untuk kanak- kanak. Majlis ini diserikan lagi dengan acara pertandingan memasak dikalangan pemimpin dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dikalangan mereka dalam usaha untuk mempamerkan kepakaran masing- masing.

Turut diselitkan dalam program ini ialah ceramah keselamatan, ceramah motivasi dan ceramah agama yang disampaikan oleh tokoh- tokoh yang diundang khas.

Program tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh meriah telah disempurnakan perasmiannya oleh ADUN Ayer Hitam, Y.B. Othman bin Aziz. Turut hadir dalam majlis ini juga ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Hashim bin Ahmad selaku Pegawai Daerah Kubang Pasu, Encik Mohd Asri Redha bin Abdul Rahman, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Daerah kecil Jerlun, Encik Noordin bin Wahab, Timbalan Pengarah KEMAS, Penghulu Mukim Jerlun dan lain- lain para tetamu jemputan.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Y.B Othman telah menyatakan perasaan bangganya dengan kerjasama yang telah dipamerkan oleh penduduk- penduduk kampung tersebut kerana telah berjaya bekerjasama untuk menganjurkan suatu program yang amat bermakna. Selain itu, beliau juga turut menekankan betapa pentingnya asas perpaduan dikalangan penduduk- penduduk disamping mengesyorkan agar produk- produk kampung yang dikeluarkan secara kecil- kecilan dapat dikomersialkan dengan lebih meluas lagi seperti perusahaan belacan, kuih- muih tradisional dan lain- lain.




No comments:

Post a Comment