TINGGI SUNGGUH GUNUNG KINABALU
ALAM SEKITARNYA SUNGGUH NYAMAN
DARI DARUL AMAN KE NEGERI DI BAWAH BAYU
BANYAK BERJALAN BANYAK PENGALAMAN.
Kota Kinabalu : 23 Ogos 2002
Dalam usaha meningkatkan lagi integrasi nasional antara negeri Kedah Darul Aman khususnya Pejabat Daerah Kota Setar dengan Negeri Sabah Negeri Di Bawah Bayu lawatan-lawatan yang berterusan perlu diadakan. Berasaskan hakikat inilah maka Pejabat Daerah Kota Setar telah berusaha merealisasikan hasrat untuk membuat lawatan ke negeri Sabah. Dengan perbelanjaan sendiri yang dikumpulkan dikalangan kakitangan akhirnya seramai 26 orang telah berjaya membuat lawatan ke Sabah bermula dari 19 Ogos 2002 hingga 23 Ogos 2002.
Sepanjang masa lawatan ke Sabah , rombongan dari Pejabat Daerah Kota Setar ini telah disambut dengan begitu mesra sekali oleh pemimpin dan penduduk tempatan disetiap tempat yang dilawati. Kerajaan negeri Sabah telah memberikan kemudahan yang tidak dijangka sama sekali hingga menjadikan lawatan yang diator ini menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh ahli rombongan. Dengan diketuai oleh Dato Hj Hassan b. Taib Pegawai Daerah Kota Setar , rombongan ini telah membuat lawatan dan kunjungan hormat kebeberapa kementerian dan pembesar-pembesar negeri Sabah. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah di mana rombongan telah diberi taklimat mengenai usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Rombongan juga telah dibawa melawat bahagian Papar di mana ahli rombongan telah disambut dengan begitu mesra oleh Pembantu Khas kepada YAB Ketua Menteri Sabah iaitu YB Datuk Hj. Abdul Rahim Ismail yang juga ADUN Pantai Manis dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat bahagian Papar.
Mengambil kesempatan dari lawatan ke Sabah ini , rombongan juga telah melanjutkan lawatan ke Pulau Labuan dengan menaiki feri selama lebih kurang 2 jam 30 minit dari Kota Kinabalu. Di Pulau ini Pihak Lembaga Perbadanan Labuanmbangunan Pulau Labuan telah menyambut kedatangan rombongan dan memberikan taklimat pembangunan Pulau Labuan yang terkenal dengan Pulau Bebas Cukai dan Pusat Kewangan Pesisiran Pantai. Di pulau ini juga YB Dato’ Hj Suhaili b Abd. Rahman, Ahli Parlimen Labuan telah sudi menerima kedatangan ahli rombongan dan sudi memberi jamuan tengahari di sebuah hotel terkemuka di situ. Aktiviti lain yang diadakan di sini ialah membeli belah.
Sepanjang masa lawatan rombongan ini Jabatan Ketua Menteri Sabah sentiasa memberi bantuan dan kerjasama yang sebaik mungkin dan rombongan juga telah berpeluang beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin negeri Sabah seperti YB. Dato Paduka Haji Lajim bin Haji Ukim Timbalan Ketua Menteri Sabah , Dato’ Misrani Parman Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang begitu banyak memberi bantuan dan kemudahan seperti penginapan dan jamuan kepada semua ahli rombongan yang terlibat. Tidak ketinggalan walaupun tidak dapat hadir dalam majlis jamuan makan yang diatur, pembesar-pembesar negeri seperti YAB Datuk Chong Kah Kiat- Ketua Menteri Sabah, YB Dato’ Kasitah Ghadam- Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Dato Shafie Afdhal.-Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia , dan juga YB. Datuk Musa Hj Aman. Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Panglima Mohd Salleh b. Tun Mohd Said- Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah dan Dewan Perniagaan Melayu Sabah yang telah sudi memberi jamuan makan malam dan tengahari ditempat yang begitu eksklusif sekali dan dengan menghantar pembantu kanan mereka untuk meraikan ahli rombongan.
Tempat-tempat menarik lain yang dilawati ialah ke Kundasang dan Ranau jauhnya kira-kiranya 2 jam perjalanan dengan kenderaan biasa, di mana terletaknya Gunung Kinabalu yang menjadi cabaran kepada pendaki-pendaki gunung. Rombongan hanya sempat meninjau dan menikmati keindahan flora dan fauna di sekitar kaki Gunung Kinabalu. Terasa begitu kerdilnya kita ini bila melihat Gunung Kinabalu yang begitu besar tersergam indah dan tinggi puncaknya yang diselaputi awan tebal. Teringat betapa besarnya kekuasaan Tuhan yang sentiasa boleh menjadikan sesuatu dengan kehendaknya.
Dalam perjalanan pulang ahli rombongan telah singgah di Hotel 1926 Pulau Pinang untuk makan malam bersama YB Dato’ Dr. Helmi Yahya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan dalam majlis tersebut juga YB Dr. Helmi telah menyampaikan ucapan yang berkisar kepada senario sebenar kedudukan orang Melayu Pulau Pinang dan usaha-usaha yang sedang dan akan dibuat bagi membantu orang-orang Melayu Pulau Pinang supaya mereka dapat sama-sama mengambil manafaat dari pembangunan yang sedang pesat berlaku dan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
Sememangnya tidak ada lagi garis pemisah antara Semenanjung dengan Sabah/Sarawak . Berdasarkan kepada layanan dan sambutan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada ahli rombongan walaupun dari hanya sebuah Pejabat Daerah Kota Setar tetapi tetap dilayan seperti layanan kelas pertama, tidak dapat dinafikan lagi bahawa integrasi nasional sememangnya ujud amat erat sekali. Ikatan tali persaudaraan dijalin dan dipereratkan. Banyak pengalaman dan pengetahuan berguna diperolehi sepanjang masa lawatan ini dan ini boleh dijadikan panduan yang boleh digunakan oleh ahli rombongan dalam memajukan negeri Kedah Darul Aman ke arah Kedah Maju 2010.
CATATAN: rEDZA
GOLF KCS VS MANTAN KCS
10 months ago
No comments:
Post a Comment