Thursday, August 27, 2009

PENDEDAHAN SUASANA KEHIDUPAN DI DESA MENGINSAFKAN PESERTA PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

28 Mac 2005: Jerlun
Catatan oleh: Mohd Asri Redha


Pengajaran dan pembelajaran tidak sahaja diperolehi di bilik-bilik kelas atau bilik kuliah semata-mata. Banyak cara kita boleh menimba ilmu dan pengalaman. Ilmu dan pengalaman yang diperolehi jika benar-benar dihayati boleh menginsafkan manusia itu sendiri.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah program sosial negara yang terbesar dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha untuk membina ketahanan diri muda-mudi rakyat Malaysia dalam segala aspek dan menimbulkan semangat jati diri serta ketaatan kepada negara yang tercinta. Salah satu modiul khusus program ini ialah Program Khidmat Komuniti dimana peserta-peserta PLKN didedahkan dengan program-program kemasyarakatan dikawasan-kawasan luarbandar khususnya.

Pejabat Daerah Kecil Jerlun sendiri telah diberi peluang oleh Kerajaan untuk menjadi tuan-rumah menerima peserta-peserta PLKN yang berjumlah 440 orang dari kem Gardenia Mk. Hosba dan Kem D’Jelapang Mk. Malau. Banyak program telah disusun untuk peserta-peserta dalam usaha memberikan suatu pendedahan yang agak berlainan dari kursus yang mereka ikut di kem-kem latihan. Program-program tersebut telah diadakan pada 21.2.2005, 27.2.2005 dan 28.2.2005 dan diadakan disemua mukim dalam daerah kecil Jerlun. Antara-antara aktiviti yang diatur ialah lawatan ketempat-tempat bersejarah di Kg. Lindungan Bulan Kota SiPuteh, lawatan ke projek-projek ekonomi, gotong royong mengecat rumah ibadat dan dewan, gotong royong membersihkan kawasan awam, membuat bancian am penduduk serta gotong royong membuat bubur asyura disamping khenduri cara kampong. YB Othman Aziz ADUN Air Hitam turut memberi sumbangan membeli bahan rencah untuk memasak bubur asyura.

Didalam ucapan perasmian projek khidmat komuniti PLKN ini Tuan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Daerah Kecil Jerlun telah mengalu-alukan kehadiran para peserta PLKN ini yang mana ada sebahagiannya dibesarkan dalam suasana di pekan dan bandar. Pendedahan kehidupan di desa-desa akan membolehkan mereka mempelajari suasana kehidupan di kampong-kampong yang agak kurang kemudahan-kemudahan berbanding dengan kehidupan di bandar tetapi suasana yang lebih nyaman, tenang dengan keramahan dan kemesraan penduduk tempatannya. Penglibatan penduduk kampong dalam setiap aktiviti yang disusun membolehkan semua peserta berinteraksi dengan penduduk kampong. Beliau menggesa pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti program ini dapat dijadikan sebagai satu pengajaran dan memberi keinsafan kepada mereka bahawa masih banyak lagi kekurangan-kekurangan yang terdapat diluarbandar dan sekiranya apabila peserta-peserta ini berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan atau swasta maka tengok-tengoklah sama apa-apa program yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat kampong.

No comments:

Post a Comment