Thursday, August 27, 2009

NELAYAN DAERAH KECIL JERLUN TERIMA BANTUAN EHSAN BENCANA OMBAK BESAR ‘TSUNAMI’.

Ayer Hitam, Jerlun: 20.Januari 2005
Catatan : Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman

Malapetaka adalah sesuatu yang tidak diminta. Namun begitu kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya. Siapa sangka dalam suasana aman damai tanpa khabar dan petanda tiba-tiba sahaja dunia digemparkan dengan landaan ombak besar yang dikenali sebagai ‘tsunami’ dimana banyak negara terlibat seperti Indonesia, Sri Lanka, India, Myanmar, Thailand dan tidak ketinggalan di Malaysia sendiri.

Bencana ombak besar ‘tsunami’ ini telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan nyawa manusia. Di Malaysia sendiri mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini telah diberi bantuan sewajarnya bagi mengurangkan penderitaan mereka yang terlibat. Keprihatinan kerajaan dan rakyat jelata Malaysia memang membanggakan. Penderitaan mereka turut dirasai oleh semua rakyat yang terlibat. Bantuan mencurah-curah datang untuk membantu mereka yang terlibat,

Di Daerah Kecil Jerlun sendiri terdapat lebih 200 mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ombak besar tsunami ini di 4 kuala utama iaitu Kuala Kerpan, Kuala Tunjang, Kuala Jerlun dan Kuala Sanglang. Kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada nelayan-nelayan yang mengalami kerosakan bot kecil dan bot besar serta juga awak-awak yang bekerja dibot yang rosak.

Majlis penyampaian bantuan tersebut diperingkat daerah Kubang Pasu telah diadakan pada 20 Januari 2005 di Pejabat Daerah Kecil Jerlun. Penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kubang Pasu iaitu Dato’ Abdul Mukthi b. Abdullah bersama-sama dengan lain-lain ketua jabatan negeri dan daerah yang hadir. Semua orang kenamaan daerah termasuk Yang Berhomat Kawasan telah dijemput hadir untuk sama-sama menyampaikan bantuan tersebut.

Dalam ucapan aluannya, Dato’ Abdul Mukthi telah meminta supaya wang yang diterima ini hendaklah dibelanjakan dengan sebaik mungkin terutama dalam membaiki bot-bot yang rosak atau untuk membeli peralatan menangkap ikan. Jika tidak pun ianya diguna untuk membeli barang-barang keperluan dapor atau persekolahan anak-anak kerana itulah yang lebih penting. Disamping itu beliau mengingatkan juga supaya jasa kerajaan hendaklah dihargai kerana kestabilan negara pada hari inilah yang membolehkan kerajaan mampu membayar bantuan ehsan ini kepada semua mangsa yang terlibat berbanding dengan negara-negara lain yang sama-sama dilanda musibah ini.

Hampir RM200,000.00 telah diberikan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan masih ada lagi yang memohon bantuan tersebut disebabkan ketinggalan pada pembahagian peringkat pertama ini. Perkara ini akan disiasat semula oleh Jabatan Perikanan bagi memastikan mereka benar-benar layak untuk menerimanya.

No comments:

Post a Comment