Friday, July 16, 2010

AUS

06.07.2010 6.00 ptg.. Sorry la.. hari ini saya menulis dari Air Port Changi Singapore. Bukannya ada apa 'boring' sangat dok tunggu kat sini sementara menanti pertukaran k/terbang ke Sydney, Australia. Turun saja kapalterbang dari Lapangan Terbang Kepala Batas terus nampak 'free terminal internet' .apa lagi terus terpa untuk taip apa-apa yang patut.

Sebenarnya saya dalam lawatan sambil belajar ke Sydney dan Canberra Australia anjuran Kerajaan Negeri Kedah.. Inilah julung-julung kalinya dalam tempoh 25 tahun saya bekerja dengan kerajaan negeri ditawarkan mengikuti rombongan rasmi ke luar negara..Seronok sangat.. walaupun dah lewat masa dah berbanding dengan kawan-kawan lain yang lebih junior yang ada yang merata dunia sudah lawat , tapi tidak apalah..itu rezeki mereka masing-masing. Kedudukan mereka ditempat kerja tertentu memungkinkan mereka dapat kerap melawat ke luar negara. Kalau saya yang sebahagian besar masa kerja saya hanya di daerah maka mungkin agak kurang sikit perhatian yang diberikan. Namun begitu saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memilih saya untuk mengikuti rombongan LSB ke Australia ini. Insya Allah saya akan mengambil manafaat sepenuhnya dengan lawatan ke negeri orang ini dan yang mana baik kita buat contoh dan yang mana tidak elok kita jadikan sempadan.. bukan setakat nak melawat begitu sahaja....

ok.. kena berhenti disini dulu.. rupanya free takat 15 minit sahaja.. nanti saya sambung lagi

Suasana kehijauan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapore. Ada disediakan 'free internet' lagi untuk kemudahan pelancong. Walaupun hanya diberi masa 15 minit aje. KLIA patut ada kemudahan percuma ini.

Airport Changi ini memang cantik dan luas sekali.. Kalau nak 'shopping' dalam terminal ini sahaja pun dah cukup banyak...tapi itulah kena pakai kad kredit.. depa tidak mahu duit Malaysia...Saya berkenan sungguh dengan lanskap air port ini...dari segi seni bina bangunannya tidaklah hebat sangat berbanding dengan KLIA tapi cara mereka hiasi lanskap dalamannya patut kita contohi untuk semua airport kita yang ada. KLIA pun kena buat macam ini.. nampak kehijauan saja .. taklah nampak macam rumah batu sahaja..

Perjalanan dari Singapore ke Sydney mengambil masa selama lebih kurang 7-8 jam. Memang menjemukan. Nasib baiklah ada video kat kerusi...Nak tidor bukan boleh sangat.

Masa di Sydney ke depan 2 jam. Sampai di sini memang sejok sekali. Suhu antara 2 C hingga 15 C. Dalam perjalanan ke Hotel, kami dibawa ke Bondi Beach..Pantai yang amat cantik dan ombaknya begitu kuat. Kalau di Malaysia, memang tidak dibenarkan orang mandi tapi disini, ombak besar dan tinggi ini dibuat mainan aje bagi mereka terutama untuk peminat peluncur ombak. Rombongan kami melawat dulu ke Paddy's Market sementara menunggu untuk 'check in' kat Hotel yang amat berdekatan iaitu Hotel Rockford Hotel..Novotel, Sydney. Ada yang berhabis sakan kat Paddy's Market ini.

08.07.2010  :Program hari ini adalah melawat ke Zoo Featherdale Wildlife Park, Sydney, tidak jauh dari Bandaraya Sydney. Hajat saya pergi ke sini cuma nak tengok Kanggaroo dan Koala aje. yang lain tu tidak berapa nak minat kerana lebih kurang sama sahaja dimana-mana tempat.

Lepas tu pergi melawat Blue Mountain..suatu kawasan pelancongan pergunungan di barat Sydney yang telah diiktiraf sebagai salah satu dari warisan dunia. Aktiviti disini ialah menaiki 'scenic railway' dan 'scenic cableway' untuk melihat & menikmati keindahan kawasan pergunungan ini dan juga melawat lombong arang batu yang terletak di pergunungan tersebut. Lombong ini tinggalan lama dan masih ada kesan-kesannya.. Lombong ini menjulur jauh ke dalam bukit sejauh lebih 1 km. Terbayang macam manalah mereka bekerja didalam...yang sempat dan gelap gulitta itu dan nak sampai ke pintu masuk gua tu sikit punya susah.

ok sambong lagi... internet ini hanya bagi masa 20 minit sahaja

09.07.2010  :Lawatan hari ini ialah ke 'factory outlet' yang jauhnya kira-kira satu jam perjalanan dari hotel/Sydney. Katanya harganya adalah harga kilang dan barang berjenama lagi...seronoklah para rombongan yang pergi ke sana..rupanya walaupun dibuat potongan 50% hargapun masih lagi tinggi ...Mungkin bagi orang Australia harga ini macam durian runtuh...tapi tidak bagi kita orang Malaysia yang berbbelanja disini..so..kalau nak beli..beli sajalah..cari yang tidak ada di Malaysial...

Dalam perjalanan pulang sempat singgah disebuah masjid berdekatan Bersih aje masjid ini...tapi tandasnya masih juga tidak ada paip air. ada tisu aje..tidak tahulah macam mereka cuci najis mereka..


Penulis bersama para rombongan bergambar berlatarbelakangkan Sydney Opera House.

Tidak sah rasanya kalau datang ke Sydney jika tidak melawat Sydney Opera House yang dibina antara 1959 dan 1973. Opera House ini juga disenaraikan dalam 'World Heritage List' Setiap tahun dikatakan lebih 2,500 'performer' menunjukkan seni opera disitu selain ada dipentaskan muzik jazz, ballet, classical music , teater dan sebagainya.

Bertentangan dengan Sydney Opera House terbentang panjang Sydney Harbour Bridge yang sebahagian besarnya dibina dari besi keluli oleh rakyat tempatan. Ada setengah pelancong mengambil kesempatan mendaki dan berjalan diatas puncaknya yang tertinggi 134 meter.

10.07.2010  :Lawatan diteruskan ke Canberra. Ibu negara Australia. Perjalanan memakan masa hampir 4 jam..Sepanjang perjalanan hanya ladang-ladang lembu dan kambing biri-biri yang banyak dijumpai. Luas dan saujana mata memandang ladang mereka. Selain itu hutan kayu saja yang ada. Rugi juga program ke Ladang Ternakan Lembu/Kambing Biri2 tidak diatur. Teringin rasanya nak perah susu lembu atau nak cukur bulu biri-biri.

Lebuh raya mereka kalau dibandingkan dengan di Malaysia rasanya di Malaysia lebih baik cumanya tidak pasti kena tol atau tidak kerana tidak jumpapun pondok tol. Kalau tidak tol memang hebatlah negara ini, memang kaya betul. Tempat R & R mereka tidak sehebat di Malaysia...jadi kalau nak buang air dan sebagainya kenalah beratur panjang..sebab tidak banyak disediakan. Begitu juga kedai makan...tidak sebanyak dengan negara kita. Nak cari makanan benar-benar halal, jangan haraplah..pandai-pandailah pilih makanan kat restoran asal jangan terpilih 'kaki pendek' sudahlah. Tapi semua restoran yang kami makan pagi, t/hari dan malam kebanyakannya ada juga dihidangkan daging kaki pendek itu, atau kalau tidakpun ada disediakan arak. Tapi tidak ada sapapun yang 'LaN' walaupun baunya menyegitkan bila dimasak..kalau di Malaysia nak masuk dalam restoran yang disediakan daging itupun tidak berani nak hampir...Pandai-pandai pilih ambillah...walaupun kita sedari kemungkinan peralatan memasak dan pinggan mangkuk digunakan bersama.

Sebelum 'check in' hotel, rombongan makan tengahari di restoran India. Katanya ada sijil halal, tapi bila masuk dalam arak pun ada dijual..tapi makanannya cita rasa india...ada dengan roti nan dan nasi lagi serta kari... makan sajalah tunggu apa lagi....

Lepas tu pergi shopping kat Canberra ini. Masuk bandar Canberra ni tidak terasa masuk kerana tidak nampak bangunan tinggi-tinggi dan orangpun nampak tidak ramai dan kelam kabut macam kita masuk ke KL dan sebagainya. Billboard atau iklan sana sini, tidak nampak. Keadaannya aman, sejok sekali, dan tidak ada bising-bising....Harga barang-barangnya pun boleh tahan jugalah... memang mahal...tapi yang herannya kawan-kawan semakin galak berbelanja..sampai sudah ada yang beli beg tambahan.....

Kami menginap di Hotel Crowne Plaza Canberra, tidak jauh dari pusat membeli belah Canberra Centre. Nak tengok movie kat hotel kena bayar. Nak guna internet kat hotel pun ke bayar AUSS30.00..sehari. Mahal tu...


Hotel penginapan di Canberra sebelah sahaja dengan Casino bersambung bangunan..duduk kat negeri mat salleh ni iman kena kuat...silap-silap boleh hanyut...yalah macam-macam dugaan ada...tak sapa ambil tahu kalau nak buat apapun.

Tempat lawatan di Canberrra tidak banyak yang dapat dilakukan memandangkan kesuntukan masa. Menginap dihotel yang sebelahnya adalah Canberra Casino.Memang banyak casino di Australia ni. Hanya berkesempatan melawat 'Australian Parliament House' dan 'Australian War Memorial. Australian Parliment House dibina dengan tenaga manusia sejumlah 10,000 orang pekerja dan mengambil masa 8 tahun untuk disiapkan. Dikatakan perbelanjaan untuk membina kompleks ini berjumlah AUS$1.10 Billion. 90% bahan binaan bangunannya adalah dari Australia sendiri menunjukkan betapa taksubnya mereka dengan barangan tempatan mereka. Tapi rupanya ia masih dirasmikan oleh Ratu Queen Elizabeth II , England pada tahun 1988. Maknanya mereka masih berkiblatkan kepada England.

Bergambar kenangan di 'Australian War Memorial' Canberra. Dikatakan memorial perang yang terbaik didunia..


Australia mendakwa 'Australian War Memorial' mereka adalah memorial yang paling terbaik didunia. Cumanya ianya tidak serealiti sebenarnya. Banyak replika gambar-gambar serta senjata-senjata sebenar yang diguna. Rasanya Muzium Perang di Bayan Lepas, Penang kalau di'upgrade' kan lagi akan lebih hebat dan menarik kerana ia menggambarkan suasana tempat berperang dengan kubu sebenar yang masih ada. Melawat memorial ini dapatlah difahami dan diketahui akan sejarah peperangan dan perjuangan yang melibatkan tentera Australia ini sejak perang dunia pertama dan kedua. Terdapat juga kisah-kisah perjuangan mereka di Malaya pada waktu sebelum merdeka dulu.

Kami juga sempat melawat kawasan khas dimana semua kedutaan-kedutaan seluruh didunia ditempatkan disitu. Termasuklah Kedutaan Malaysia. Malangnya hari Ahad bercuti, maka tidak kesempatan untuk masuk ziarah kedutaan kita di situ, hanya berkesempatan bergambar dihadapan kedutaan.

Di Canberra hanya sempat semalam sahaja. Lepas tu terpaksa balik ke Sydney dan menginap dihotel lain pula. Pagi-pagi besoknya terpaksa berkejar ke 'Sydney Airport' untuk berangkat pulang.

Bertemu lagi..tapi kali ini dok menaip waktu transit kat airport ini sementara menanti kapalterbang selanjutnya ke Pulau Pinang. Jadi ada masa sikit , sambong tulis blog disini.

Sepanjang lawatan sambil belajar ini dapatlah sedikit sebanyak gambaran dan pengajaran yang boleh dijadikan contoh tauladan dan dipelajari. Antaranya saya dapati ialah sikap dan disiplin rakyatnya amat tinggi sekali. Bayangkan pemandu bas yang membawa kami dari Sydney ke Canberra selama lebih 4 jam dan balik membawa bas setakat kelajuan 100 km/jam sahaja. Lebih daripada itu mesti akan kena saman melalui sistem kamera yang dipasang ditempat-tempat tertentu juga dipasang pada kenderaan syarikat yang dilantik khas untuk sistem pengesanan kelajuan dan langgar peraturan jalanraya. Hukuman denda dan kompounnya memang tinggi dan keras. Sepatutnya ini dikuatkuasakan sepenuhnya di Malaysia. Undang-undang sudah ada dan cukup keras tapi penguatkuasaan agak kurang berkesan.

Sopan Santun..walaupun kita bisa mendengar orang Australia ini mereka begitu anti Orang Asia atau anti Islam namun secara keseluruhannya tidaklah begitu. Mereka amat menghormati orang lain..Perkataan 'sorry' dan 'thank you' sentiasa bermain dibibir mereka. Begitu juga dijalan raya sentiasa menghormati sesama pengguna jalan raya. Walaupun mereka bukan beragama Islam tapi, kita sebagai umat Islam sepatutnya lebih baik lagi....kerana ajaran agama kita amat menitikberatkan perasaan kasih sayang sesama insan.

Kebersihan memang diutamakan oleh mereka. Mungkin kerana negera mereka sejok kut. Itu sebab nampak bersih. Lebuhrayanya biasa saja. Kemudahan untuk 'public' amat berkurangan.,tetapi tidak ada tol dan dimana-mana tempat tandas awamnya adalah percuma, tapi tandasnya lebih bersih kalau dibandingkan dengan tandas di Malaysia walaupun kutip bayaran. Dari segi kemudahan leboh raya di Australia rasanya lebuhraya bertol di Malaysia adalah jauh lebih baik...

Bandaraya Canberra sebagai pusat pentadbiran negara Australia memang cantik dan terancang. Perancangan bandarnya memang terperinci dan mesra alam. Mungkin pada masa awalnya memang sudah dirancang begitu maka jadinya begitu dengan aktiviti penguatkuasaan segala aspek amat teliti dan keras. Jadi kalau hendak belajar berkenaan perancangan bandar elok mai ke Canberra. Kalau diperhati dari udara nampak bentok seluruh kawasan ini yang cukup cantik.

Berjalan di bandar-bandar Australia, rasanya aman dan selamat. Mungkin negara ini penduduknya berpendapatan tinggi. Kalau adapun jenayah dikatakan dilakukan oleh warga asing yang berada di Australia. Sebab itulah kita perlu meningkatkan pendapatan rakyat kita untuk memastikan semua rakyat hidup aman sejahtera dan kuranglah jenayah-jenayah...

Industri pertanian, penternakan, perikanan amat diberi perhatian berat oleh Kerajaan Australia. Mereka amat taksub dan sensitif dengan industri mereka. Sebab itu semasa rombongan kami masuk melalui Kastam mereka, kami diperiksa teliti apa yang dibawa. Fokus mereka untuk mencari kalau ada dibawa produk-produk yang berkaitan pertanian, haiwan, perikanan dan sebagainya masuk ke Australia. Kalau jumpa pasti akan diperiksa teliti lagi dan kemungkinan tidak dibenarkan bawa masuk...Ini adalah untuk memastikan industri mereka tidak terancam oleh bawaan penyakit luar, atau apa-apa unsur luar yang boleh merosakkan industri mereka. Sampai begitu sekali...kalau kita di CIQ sempadan rasanya kurang sangat diperiksa teliti begitu...

Ok...itu saja coretan perjalanan saya kali ini.. harap-harap ada rezeki lagi dapat pula tawaran lawatan ke Eropah, Timor Tengah , Korea, Jepun atau ke Amerika Syarikat..Teringin rasanya nak pergi ke situ. Dok dengar cerita orang sahaja.....

asriredha
teratak kasih
alor setar

Friday, May 28, 2010

The Royal Kedah International Hot Air Balloon Festival 2010

28 Mei 2010
Taman Jubli Emas
Suka Menanti

Perasmian Festival Belon Udara Panas disempurnakan oleh KBDYMM Tuanku Sultan Kedah DA.
Setahu saya inilah julung kalinya dalam sejarah di Kedah..festival ini diadakan di Bandaraya Alor Setar ini..Selama ini aktiviti seperti ini hanya ada kat kota raya besar-besar sahaja.. Inilah peluang orang Kedah untuk melihat sendiri apa itu Belon Udara Panas secara nyata, malahan berkesempatan boleh naik lagi dengan Belon Udara Panas itu...itupun kalau tidak 'gayat'..

Friday, April 30, 2010

Royal Heritage Trail...

Menara Alor Setar: 30 April 2010

Melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi adalah merupakan satu usaha yang murni dan perlu diamalkan oleh setiap orang. Bayangkanlah bila penganjur mengadakan sesuatu aktiviti tetapi tidak ada pula atau kurangnya penglibatan orang ramai.. maka sudah tentu tidak meriah jadinya majlis itu. Bayangkan betapa mesyuarat demi mesyuarat diatur untuk menguruskan sesuatu aktiviti tetapi orang ramai tidak melibatkan diri pada hari aktiviti diadakan..tentu kecewa jadinya pihak tuan rumah. Kalau kita sendiri jadi tuan rumah, adakah kita mahu perkara sebegitu berlaku?..sudah tentu tidak.

Sebab itu saya sentiasa menghargai akan usaha-usaha mana-mana jabatan atau organisasi yang mengadakan apa-apa program aktiviti kemasyarakatan, aktiviti promosi sukan/pelancongan, dan sebagainya yang melibatkan penglibatan orang ramai. Menjadi satu kepuasan kepada saya jika dapat menyertainya. kalau melibatkan aktiviti fizikal saya menganggapnya sebagai untuk kesihatan.. Tak gamak rasanya untuk tidak hadir dan tidak mengambil bahagian dalam program..apatahlah jika kita dijemput. kecualilah jika ada urusan-urusan yang lebih penting yang tidak dapat dielakkan.

Selain mengambil bahagian kita dapat juga faedah dari segi kesihatan dan pergaulan sosial yang lebih baik...Kalau dijemput kemajlis-majlis agama sekurangnya kita menghormati jemputan penganjur selain kita sendiri akan mendapat pahala yang melimpah ruah kerana menghadiri majlis-majlis agama apatah lagi jika diadakan dirumah Ibadat...Kalau pegawai kerajaan dan ada jemputan rasmi.. boleh 'claim' lagi. Tu pun masih lagi sepi bagi majlis-majlis berkaitan keagamaan... Awatlah susah sangat.

Jadi kita kena sentiasa berpandangan positif dalam apa-apa aktiviti yang orang/ organisasi anjurkan...Jangan kita memandang serong dan berprasangka tidak baik akan apa yang dibuat. Barulah hidup ini akan aman dan tenteram.. tak gitu..

Tadi itu 'intro' aje. Ni nak cerita saya pergi hadiri Program 'Royal Heritage Trail' pagi tadi. Program ini adalah anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah/Kerajaan Negeri Kedah. Program ini adalah berbasikal bermula dari Menara Alor Setar mengelilingi Bandaraya Alor Setar ini dan tumpuan ke tempat-tempat pelancongan seperti di Balai Seni/Masjid Zahir, Tanjong Chali, Pekan Rabu, Menara Alor Setar dan lain-lain tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong. Sayapun tumpang sekaki kayuh basikal bersama Abu Zareem (anak) lebih kurang 6 km aje. Tidak berapa nak peloh... Lepas ni kena cadang bagi jauh sikit jaraknya seperti ke Gunung Keriang.. baru karan.

Kayuhan ini diketuai oleh YTM Tunku Panglima Besar Tunku Puteri Intan Safinaz bt KBDYM Tunku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Diiringi bersama oleh Kumpulan Basikal Gerek Tua Alor Setar, beberapa orang VIP, Remaja-Remaja dan juga motosikal klasik..Tujuan utama program ini adalah untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang menarik di Bandaraya Alor Setar ini.

untuk kembali ke blog indok: 'click' di sinihttp://www.semangatjati.blogspot.com

Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman
Teratak Kasih
Alor Setar

Saturday, April 17, 2010

TUKAR OPIS SAJA

Pejabat Tanah Sik: 31.03.2010

Hari ini semua kakitangan saya sama-sama menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk mengadakan majlis meraikan pertukaran kakitangan pejabat ini. Jabatan kehilangan seorang pegawai kanan yang berpengalaman luas iaitu en. Shaharudin ..Penolong Pegawai Tanah Kanan yang ditukarkan ke Pejabat Tanah Sik. Pegawai yang terlibat dalam pertukaran ini ialah Cik Siti Zubaidah Penolong Pegawai Tanah yang diarah bertugas di Pejabat PTG. Jabatan juga kehilangan seorang lagi Pembantu Tadbir yang kecil molek dan rajin iaitu Cik Nadhirah yang mendapat tawaran jawatan Pembantu Tadbir (Tetap) di Putrajaya.


Dok kerumun ramai-ramai sebelum jamuan makan tengahari


Keluarnya mereka bertiga ini merupakan kehilangan yang amat terasa oleh jabatan ini apatah lagi pertukaran en Shaharudin PPT Kanan tidak diganti manakala Cik Nadhirah tidak ada pengganti juga...Ini sedikit sebanyak telah menganggui kelancaran operasi jabatan ini dalam usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan melalui kutipan hasil tanah.

Sudah pasti prestasi terjejas kerana agihan tugas yang tidak seimbang dan kemampuan untuk bertindak lebih agresif adalah agak terbatas,. Diharap pihak yang bertanggungjawab terutama di Bahagian Sumber Manusia, Pejabat SUK dapat melihat ini secara serious kerana pada satu ketika jabatan diminta meningkatkan lagi usaha untuk mengutip hasil-hasil tanah tetapi pada masa yang sama jabatan dihalangi melalui kekurangan sumber manusia yang sememangnya sebelum inipun sudah begitu kekurangan.

Pentadbir Tanah Daerah Sik ..Mohd Asri Redha dan PPTD bergambar kenangan bersama kakitangan yang terlibat.

alam tahun ini juga ada 4 orang kakitangan tetap jabatan ini akan berpencen. Tau dah berdasarkan amalan sebelum nak isi tempat yang dikosongkan tu mengambil masa yang panjang juga. Harap-harap tidak jadi macam tu tahun.

Tak taulah macam mana nak 'run' jabatan ini untuk mencapai segala kehendak pelbagai pelanggan agensi yang sentiasa mahukan perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.....Saya tengah dok semangat ni nak tunjuk sesuatu yang lebih baik pada pelbagai pelanggan.. jadi macam ni pula...Sepatutnya jabatan-jabatan yang dok cari duit ni kena diberi segala kemudahan dan kelengkapan agar apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan..kalau pegawai tidak cukup dan budget pun diminta jimat.. macam mana nak bergerak...fikir-fikirlah sama-sama

untuk kembali ke blog indok, klik tetikus anda di sini: http://www.semangatjati.blogspot.com

Wednesday, April 14, 2010

PROAKTIF DALAM KUTIPAN CUKAI TANAH

Kg Gulau Sik: 14 April 2010

Dulu-dulu pemerentah mengutip apa-apa cukai yang dikenakan dengan cara pegawai cukai yang dilantik pergi ke kampong-kampong untuk mengutip cukai..Mungkin pada waktu tidak banyak sangat sumber yang dapat dikutip dan maklumat pun tidak begitu banyak. Selepas itu kutipan cukai mula dilaksanakan disesuatu tempat khas apabila bilangan hakmilik semakin bertambah dan bilangan urusniaga dan bukan urusaniaga tanah semakin bertambah juga sesuai dengan pertambahan penduduk. Kutipan luar menjadi agak bermasalah pada waktu itu.

Walau bagaimanapun sekarang ini dengan kecanggihan dan kemodenan pengurusan tanah yang menggunakan teknologi maklumat sepenuhnya telah membolehkan urusan kutipan cukai tanah boleh dibuat diluar pejabat. Ini amat memudahkan kerana semua maklumat dapat dibawa keluar dari pejabat.


Pentadbir Tanah Daerah Sik turun ke padang untuk meninjau sendiri aktiviti Kaunter Bergerak Pejabat Tanah Sik. Program ini di Kompleks Penghulu Mk Sok, di Kg Gulau.

Pejabat Tanah Sik mengambil kesempatan dari kemudahan yang disediakan ini dengan juga mengaturkan beberapa program kutipan cukai tanah yang dikenali sebagai 'Kaunter Bergerak' dibeberapa lokasi strategik dalam daerah Sik ini. Antara tempat yang telah dilaksanakan ialah di Kg Gulau, Mk Sok. Adanya 'Kaunter Bergerak' ini telah memberi kemudahan kepada pemilik-pemilik tanah untuk membayar cukai tanah tanpa perlu pergi ke Pejabat Tanah di Pekan Sik. Ini akan mengurangkan kos untuk pengangkutan mereka dan juga masa dapat dijimatkan yang diboleh digunakan untuk kerja-kerja berfaedah lainya.

Pada peringkat awal ini mungkin agak kurang memberangsangkan kerana kemungkinan dari segi pengetahuan akan kemudahan ini belum lagi menyeluruh. Pejabat Tanah Sik akan berusaha dengan lebih giat lagi untuk menjalankan kempen Bayar Cukai Tanah dan mempromosikan 'Kaunter Bergerak' dikalangan pemilik tanah.



Berita terkini: cabutan dari Akhbar Sinar Harian / 06 Mei 2010

Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman
Teratak Kasih
Alor Setar

untuk kembali ke  blog indok , klik sahaja tetikus anda disini:  http://www.semangatjati.blogspot.com/

Saturday, April 10, 2010

PEMBANGUNAN TANAH DAN ‘STAR RATING’

Hotel l Equatorial, Cameron Highland: 09 April 2010

Kata orang duduk di Cameron Highland sejuk sekali..maklumlah kedudukannya yang tinggi melebihi 1.6 km dari aras laut. Maka hari ini aku berkesempatan berada di Cameron Highland untuk satu urusan rasmi jabatan di sini…Sepanjang perjalanan ke Tanah Rata, aku dapati terlalu banyak pembangunan dilereng-lereng bukit. Itu sebab bila berada di sini rupanya udaranya tidaklah sesejuk mana…udara nyaman sahaja.. Kata sepupuku yang menetap di Cameron Highland dulunya minyak masak boleh dipotong-potong kerana sejuk…. Begitulah keadaannya. Mungkin kerana hutannya sudah ditebang dengan berleluasa dan /pembangunan lereng bukit begitu berleluasa sekali.

Cantik kedai yang menjual pelbagai tumbuhan pelbagai daun dan bunga dengan lanskapnya yang menarik, tenang rasanya masuk ke kedainya ini...terbang juga RM100.00 beli pelbagai pokok kaktus dan pokok bunga...

Bila lihat pembangunan dilereng-lereng bukit ini rasa tertanya-tanya juga bagaimana boleh berlaku begitu banyak usaha-usaha pembangunan dibuat disitu terutama di Kg Raja, Berinchang, dan Tanah Rata ini…tanah dipotong teres sewenang-wenangnya, bangunan-bangunan dibina hingga rapat dengan jalan..rasanya rizab jalan sudah tidak ada lagi…Undang-undang dan peraturan berhubungan pembangunan kawasan bukit sudah ada dan amat ketat sekali sebelum boleh diluluskan. Ini untuk mengelakkan berlakunya pencemaran alam dan hakisan tanah serta runtuhan tanah. Nampaknya di Cameron Highland ini seperti tidak pakai langsung peraturan yang ditetapkan.

Satu perkara yang aku nampak disini ialah terlalu kurang orang melayu yang terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi di sini..Banyak kaum tionghua di sini. Aktiviti utama disini ialah pengeluaran sayuran-sayuran, daun teh, dan buahan-buahan beriklim sederhana seperti buah strawberry. Hotelpun banyak juga disini. Memang aktiviti ekonomi begitu rancak disini. Setiap ruang yang ada dipergunakan sepenuhnya.

Aktiviti aku disini ialah untuk menghadiri Mesyuarat Khas Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah dimana banyak isu dan masalah pentadbiran tanah dan pembangunan dibentang dan dibincang cara penyelesaiannya. Begitu juga beberapa perancangan baru terutama dalam usaha meningkatkan hasil kerajaan negeri dibincangkan dengan panjang lebar .

Tanah lereng bukit diteroka sewenangnya yang boleh mengundang kerosakan alam sekitar seperti tanah runtuh, pencemaran air dan juga banjir. Gambar ini diambil dari bilik hotel tingkat 13. Tempat ialah di Brinchang, Perak.

Usaha Kerajaan Persekutuan untuk memberikan penarafan bintang terhadap jabatan kerajaan juga telah dibincang secara mendalam dalam satu mesyuarat khas keesokan harinya. PTG Kedah telah menjemput wakil dari KPTG untuk memberikan maklumat tambahan tentang cara-cara dan persiapan yang harus dibuat oleh jabatan dalam penilaian yang akan dibuat oleh MAMPU nanti. Adalah diharapkan nanti akan ada Pejabat Tanah yang akan mendapat 5 bintang atau sekurang-kurangnya 1 bintang. Jangan tidak dapat apa-apapun bintang. Yang ini dikira kes berat. Kena buat pembedahan secara menyeluruh untuk menyelesaikan isu dan masalah dalam jabatan tersebut. Star Rating menjadi mimpi –mimpi ngeri pada diriku dan kebanyakan rakan-rakan ketua jabatan….Banyak mengambil masa dan tenaga kakitangan untuk persiapan keararah itu hingga kerja teras terpaksa diabaikan demi memenuhi kehendak MAMPU. Itupun bukan semua dapat dipatuhi yang sudah tentu markah akan dipotong….Masih terlalu banyak masalah-masalah rakyat dalam urusan tanah yang belum dapat diselesaikan….begitu juga dengan tunggakan-tunggakan yang ada………


untuk kembali ke blog indok klik sahaja tetikus anda di sinihttp://www.semangatjati.blogspot.com

Mohd Asri Redha b. Abdul Rahman
Teratak Kasih
Alor Setar

Friday, February 12, 2010

Tidak Kaya , Tidak Miskin, Maruah Melayu Tidak Tergadai

11 Februari 2010
Hotel Rainassance
Kota Bharu, Kelantan

Kadang-kadang tu idea dan ilham datang dari pengalaman lawatan ke tempat orang. Bapa saudara saya iaitu Dato' Abdullah Hussein, seorang Sasterawan Negara sendiri mengakui bahawa beliau buntu fikirannya jika tidak keluar bersosial dan bergaul serta melawat tempat-tempat tertentu. Itu sebab beliau sudah tidak lagi menulis kreatif sejak kebelakangan ini disebabkan keuzurannya itu, walaupun beliau masih boleh menulis dan berfikir.
Asyik mendengar taklimat oleh Pegawai Kewangan Negeri Kelantan di Wisma Darulnaim.
Kerajaan Negeri Kedah sentiasa berusaha mencari sumber-sumber hasil baru untuk menambahkan pendapatan negeri disamping meningkatkan kutipan sumber-sumber tradisional sedia ada. Tidak dapat dinafikan ruang yang ada untuk kerajaan meningkatkan hasil negeri seperti yang dibenarkan oleh perlembagaan agak terhad..Alangkah syoknya jika perairan Kedah ini ada hasil minyak...tentu boleh dapat hasil royalti. Tapi kalau sudah ada duit banyak ada pula yang akan lupa daratan...susah juga...

Sebab itu semua pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah kena berfikiran kreatif dan berinovasi dalam menjana pendapatan negeri Kedah melalui jabatan masing-masing.


Saya bersama rakan kumpulan sedang berbengkel di hotel penginapan.....nak kena perah otak juga ni...

Untuk itu satu lawatan sambil belajar telah dibuat oleh Perbendaharaan Negeri Kedah ke Perbendaharaan Kelantan dengan satu tujuan untuk menimba pengalaman kerajaan Kelantan dalam mengurus perbelanjaan dan mencari dana untuk pengurusan pentadbiran dan pembangunannya. Banyak idea-idea diperolehi hasil lawatan tersebut. Suasana dan keadaan persekitaran negeri tersebut lebih kurang sama sahaja dengan Kedah kerana kedua-dua negeri ini ditadbirkan oleh kerajaan Pakatan Pembangkang atau lebih khusus oleh PAS. Cumanya hendak belajar bagaimana sehingga kini masih lagi boleh 'survive' dengan tekanan dalam pelbagai aspek sejak sekian lama. Ini yang Kedah hendak belajar.

Saya bersama ahli rombongan di bilik gerakan Perbendaharaan Negeri Kelantan dalam sessi taklimat dan soal jawab dengan Pegawai Kewangan Negeri Kelantan.

Bagi memantapkan dan mengembangkan lagi idea dan ilham yang diperolehi itu diadakan pula bengkel di hotel ini selama dua hari dimana para peserta memerah otak memikirkan lagi apa lagi yang boleh menyumbang kepada hasil negeri Kedah.


Menjamu selera di tepi Sungai Kelantan
Pegawai Kewangan Negeri Kedah YB Dato' Hj Mohd Puat b. Mohd Ali telah merasmikan bengkel ini dan dalam ucaputamanya beliau telah menerangkan secara telus akan keadaan dan senario kewangan kerajaan negeri Kedah dan beliau sendiri telah menggulung dan membuat rumusan hasil-hasil perbincangan dalam bengkel tersebut...Jaminannya beberapa perkara baru yang menarik bernas akan dibawa keperingkat atasan untuk pertimbangan dan kajian teliti kerajaan sebelum boleh dilaksanakan. 

Sesungguhnya lawatan dan bengkel ini telah memberi banyak manafaat kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah yang hadir dan tindakan-tindakan susulan sepatutnya diteruskan bila kembali ke Kedah. Kakitangan kerajaan Kedah baik dari semua peringkat dan segala macam tugas tidak lagi boleh ambil tidak kisah dan bekerja separuh kudrat sahaja. Semua kena ada komitmen untuk membantu kerajaan dalam meningkatkan hasil negeri kerana manfaatnya akan kembali kepada kakitangan dan rakyat negeri Kedah jua.


asriredha
teratak kasih
alor setar

Monday, January 25, 2010

SEMINAR PEMBANGUNAN DAERAH 2010

25 Januari 2010

Hotel Palace Of The Golden Horses
Seri Kembangan Selangor

Secara kebetulan awal tahun ini saya diarah memangku Pegawai Daerah Sik disebabkan Dato' Hj Azmi Din Pegawai Daerah Sik sebelumnya telah diarahkan melaksanakan tanggungjawab yang lebih berat di SADA (singkatan Syarikat Air Darul Aman). Atas kapasiti jawatan itu saya berpeluang menghadiri Seminar Pembangunan Daerah 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah disebuah hotel terkemuka di Lembah Kelang.

Tinjau punya tinjau nampaknya hanya saya seorang sahaja pegawai kerajaan negeri Kedah yang hadir seminar ini. Jemputan seminar ini adalah terdiri daripada Pegawai Daerah seluruh negara termasuk negeri dibawah pakatan pembangkang. Saya sengaja hadir juga seminar ini untuk mendapatkan maklumat terkini tentang program dan dasar-dasar baru kementerian dari segi pembangunan luar bandar....Kalau tidak terputus terus maklumat memandangkan setiap mesyuarat perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan oleh kementerian tidak lagi dijemput wakil kerajaan negeri atau pegawai daerah menghadirinya.

Terfikir juga kenapa dijemput semua pegawai daerah negeri pakatan pembangkang sedangkan peranan dan tanggungjawab tidak lagi diberikan oleh kementerian....mulanya saya fikir mungkin untuk diberikan balik sedikit sebanyak tanggungjawab asal pegawai daerah sebagai agen pembangunan daerah oleh kementerian. Mungkin untuk mengelakkan dari tohmahan kut , bimbang orang kata kementerian mengetepikan terus pegawai daerah negeri pakatan pembangkang. Dalam pekeliling perkhidmatan kerajaan memang ternyata dan terserlah peranan pegawai daerah dinyatakan dengan jelas dan amat besar hingga semua jabatan-jabatan kerajaan atau badan berkanun yang hendak berurusan disesuatu daerah perlu merujuk dahulu kepada pegawai daerah untuk pohon pandangan dan penyelarasan. Tidak disebutkanpun pegawai daerah dinegeri pakatan pembangkang atau pakatan kerajaan.


Namun sehingga selesai seminar selama 2 hari tersebut perkara ini tidak diberi perhatian langsung oleh pihak penceramah dan juga oleh YB Menteri serta KSU Kementerian.. Tetapi didalam ucapan memang disebutkan juga pegawai kerajaan khususnya pegawai daerah sebagai kakitangan kerajaan yang perlu bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, ugama dan juga fahaman politik.Yang pentingnya adalah kesejahteraan rakyat, rakyat diutamakan. Soalan ada ditanya tetapi jawapan tidak diberikan secara lebih profesional.. seolah-olah cuba menghindari menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan...cubalah bayangkan nanti kalau semua negeri dibawah pakatan pembangkang manakala peringkat pusat oleh kerajaan yang memerintah....macam mana jadinya ya..Takkanlah hendak ditubuhkan jabatan lain pula disetiap negeri yang akan membawa kepada pembaziran wang rakyat lagi. Adakah Bidang Keberhasilan Utama Nasional Peringkat Kementerian boleh dicapai jika peranan pegawai daerah diketepikan atau kalau dikatakan tercapai oleh kementerian adakah data-data itu tepat dan meliputi semua peringkat rakyat......

asriredha
teratak kasih
alor setar

berita ini akan dipindahkan ke http//www.beritasri.blogspot.com

Wednesday, December 2, 2009

DI BAWAH BAYU BANYAK KEINDAHAN, KEBERSIHAN DAN KEMESRAAN

Hotel Le Meredian,
Kota Kinabalu.

03 Disember 2009

Isu tunggakan hasil cukai pintu dan kebersihan sesebuah kawasan PBT sentiasa menjadi fokus utama orang ramai terhadap perkhidmatan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan..Isu ini selalunya tiada berkesudahan sejak dari dulu lagi hingga kini, Bermacam-macam usaha dilakukan namun yang benar-benar berjaya kurang benar adanya.


Saya bersama sebahagian rombongan bersantai menikmati keindahan pantai di Pulau Manukan


Majlis Daerah Sik, sebuah PBT yang kecil sahaja di Kedah namun sentiasa menekankan usaha-usaha menambahbaikkan perkhidmatan yang dapat diberikan terutama dalam isu-isu kebersihan, penguatkuasaan dan kutipan cukai pintu.

Untuk itu sebagai meningkatkan lagi pengetahuan dan mencari idea-idea baru dalam aktiviti PBT maka satu lawatan rasmi telah diatur ke Kota Kinabalu Sabah yang bermula dari 2 Dis 2009 hingga 5 Dis. 2009. Ahli rombongan terdiri dari semua ahli majlis MDS yang diketuai oleh Tuan Hj Azmi Din, Yang Dipertua MDS...

Lawatan telah dibuat ke Majlis Bandaraya Kota Kinabalu dimana kunjungan hormat bersama Mayor DBKK iaitu Dato' Ilias b. Ibrahim. Banyak idea-idea baru diberikan oleh Mayor tersebut berdasarkan pengalaman DBKK terutamanya dengan program 3K yang dipraktikkan oleh DBKK. 3K bermaksud kebersihan diutamakan, Keselamatan Dijamin dan Kesejahteraan Rakyat diberi perhatian. Di samping itu pihak DBKK telah sudi memberikan taklimat berkenaan 'Tindakan-Tindakan Yang Diambil Oleh DBKK Terhadap Cukai Kadaran'..Banyak maklumat-maklumat baru diperolehi dari taklimat dan soaljawab antara ahli rombongan dengan pihak pengurusan DBKK. Sesungguhnya sambutan mesra yang diberikan oleh semua kakitangan DBKK amatlah dihargai dan disanjung tinggi..


Saya bersama Tuan Hj Azmi Din YDP MDS dan rombongan membuat kunjungan hormat ke Pejabat Mayor DBKK.

Program ini juga mengadakan lawatan ke Pulau Sapi dan Pulau Manukan iaitu lebih kurang 30 minit perjalanan dengan bot penambang dari jeti penumpang di Jalan Tun Fuad Stephens, Sinsuran, Kota Kinabalu..hanya 200 meter dari hotel penginapan. Pulau ini adalah pulau peranginan yang dikawal oleh Taman Laut...Tempat ini sesuai untuk berenang, snorkling, dan bermesra-mesraan dengan ikan hidupan laut yang amat jinak...Tapi rasanya Taman Laut kat Pulau Payar Langkawi lebih menarik lagi.

Tidak lengkap rasanya kalau datang ke negeri orang tidak membeli belah..Pasar Fillipina letaknya hanya 100 meter sahaja dari hotel..Memangnya banyak barang-barang dari segala macam makanan dan buah-buahan , kraftangan tempatan dan dari Fillipina dan Indonesia, dan juga paling disukai ialah mutiara yang banyak dijual disini...Namun berhati-hati membeli mutiara, kerana silap perkiraan terkenaan mutiara palsu.. Ini kena hati-hati.

Ok pak mau pergi shoping-shoping dulu...tidak habis lagi cerita ni...nanti mau cerita lagi....belum habis lawatan lagi nih..

04.12.09

Ok..ketemu lagi semua.. hari ini melawat sekitar Bandar KK seperti ke Masjid Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah, 'window shoping' kat kompleks perniagaan One Borneo Hypermall dan bergambar di bangunan unik Yayasan Sabah..khabarnya sudah tidak begitu stabil dan tidak ramai yang berani duduk didalamnya..Petangnya pergi tinjau kat beberapa kedai jewellery nak cari rantai mutiara pesanan isteri dan akhirnya ketemu juga kat Kedai Jamelah Jewellery..Harganya boleh tahan, tapi kalau nak cari mutiara air tawar murah aje... mutiara air masin agak mahal harganya..tapi berbaloi kalau membeli berbanding harganya di semenanjung yang berlipat kali ganda...so pejam mata beli juga... untuk birthday isteri yang akan menjelang tidak lama lagi..


Apa yang sebenarnya dapat dipelajari  dan diambil pengajaran hasil dari lawatan ini ialah dapat 5K. Iaitu KeselamataN terjamin, KebersihaN diuruskan dengan baik, KaKi LimA bangunan perniagaan tidak dibiarkan penuh dengan barang niaga, KutU RayaU pun tidak kelihatan di KK ini, KeimanaN terserlah bila melihat surau dipasar malam penuh dengan jemaah dan KerjasamA sentiasa ada antara peniaga dengan PBT. Jadi inilah yang perlu diimplimentasikan oleh mana-mana PBT di Kedah...caranya...marilah sama-sama kita memikirkan dan mencari jalan agar keadaan seperti 6K itu juga dapat diujudkan .

Wednesday, November 25, 2009

URUSAN PINDAHMILIK TANAH ANDA AKAN SELESAI DALAM TEMPOH 2 JAM....SILA TUNGGU

Hotel A Famosa Resort,
Melaka
25 November 2009

Kerajaan berusaha bermacam-macam cara dan pendekatan dalam memberi kesenangan kepada rakyat dan mempermudahkan rakyat membuat sebarang urusan dengan kerajaan. Sesuai dengan moto kerajaan yang memberikan keutamaan kepada RakYaT.

Perbincangan dalam bengkel bersama dengan PTD Kedah yang turut sama hadir.

Pentadbiran Tanah tidak terlepas dari menerima tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.  Atas hasrat tersebut saya berusaha hadir juga dalam Konvensyen Pentadbir Tanah Seluruh Malaysia yang diadakan di Hotel A Famosa Resort, Melaka bermula dari 22 November hingga 25 November 2009. Konvensyen ini dirasmikan sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

Fokus utama konvensyen ini ialah membuat rumusan bagaimana untuk melaksanakan 'kaunter ekspress' segala urusan yang berkaitan dengan urusniaga dan bukan urusniaga tanah dimana bengkel telah membuat 'kenyataan bersama' untuk melaksanakan urusan pendaftaran dan pengembalian dokumen dapat diselesaikan pada hari yang sama. Dalam beberapa transaksi tertentu seperti pindah milik tanah, gadaian tanah, melepas gadaian tanah dan sebagainya boleh dilaksanakan dengan segera dan ada setengah-setengah pejabat tanah telah membuktikan hanya mengambil masa kurang dari satu jam jika dokumen lengkap dikemukakan.

Pelaksanaan 'kaunter ekspress' seperti ini memerlukan transformasi dalam pentadbiran tanah terutama dalam memastikan semua kakitangan terlibat memahami sepenuhnya hasrat kerajaan dalam memberi kesejahteraan kepada rakyat. Sikap dan cara bekerja perlu berubah.

Dalam hal ini saya juga akan cuba melaksanakan kehendak kerajaan dan memastikan setiap urusniaga tanah dapat diselesaikan pada hari yang sama. Semuanya ini sebenarnya terletak kepada keikhlasan setiap kakitangan untuk bertindak sebaik mungkin seperti mana yang diarahkan. Benda baik orang arah , laksanakan sahajalah sekadar yang termampu,  Hendak SeribU DayA, Tidak HendaK SeriBu DaliH.....

Bye..jumpa lagi...

Friday, November 6, 2009

Adakah DalaM TempoH SetahuN LagI AkaN AdA PerubahaN PeningkataN Hasil KerajaaN?


06 November 2009
Hotel City Bayview Langkawi
Sejak sekian lama didapati banyak tanah-tanah berhakmilik yang bersyarat pertanian tetapi telah disalahgunakan oleh tuan tanah untuk digunakan bagi maksud lain dari syarat yang dibenarkan oleh peruntukan Kanun Tanah Negara. Pelanggaran syarat kegunaan tanah ini telah banyak menguntungkan tuan tanah atau bangunan sedangkan kerajaan mengalami kerugian yang begitu banyak disebabkan penyalahgunaan pengunaan tanah tersebut. Sebagai contohnya di Langkawi ada hotel bertaraf 4 bintang didirikan diatas tanah bersyarat pertanian. Kerajaan Negeri Kedah hanya dapat mengutip cukai tanah sebanyak RM8.00 sahaja sedangkan sepatutnya dengan projek seperti itu kerajaan boleh mengutip beribu-ribu RM jika tanah bersyarat hotel..Walau bagaimanapun undang-undang sedia ada tidak membenarkan cukai atau hasil dikutip seperti itu...maka berterusanlah keadaan seperti itu sehingga kini.

Saya bersama dengan sebahagian ahli bengkel yang terdiri dari wakil Pejabat Tanah Sik, JPBDD dan Majlis Daerah Sik sedang berbincang mengenai kajian kes yang diberi.

Sebenarnya banyak lagi kes-kes pelanggaran syarat kegunaan tanah pertanian seperti digunakan untuk padang golf dan pusat rekreasi, bangunan perusahaan, bangunan perniagaan, bangunan kediaman...Jika disiasat dan direkod diseluruh negeri Kedah bilangannya terlalu banyak. Mengapa perkara ini berlaku dan berleluasa tidak perlulah diungkit kisah-kisah lama...banyak persoalan dan isu yang berbangkit seperti kenapa dibiarkan perkara tersebut berlaku, mengapa penguatkuasaan tidak laksanakan dan sebagainya...Kemungkinan banyak pertimbangan politik dan faaktor kemanusian memainkan peranan dalam hal ini..Sebagai kakitangan kerajaan kita menghadapi dilema dalam hal ini. Walau bagaimanapun penyelesaian perlu dicari mengatasi masalah tersebut.


Berkisar kepada isu-isu pelanggaran syarat kegunaan tanah inilah maka satu pendekatan yang drastik perlu dilakukan segera oleh kerajaan negeri walaupun sudah agak terlewat dalam memastikan kerajaan negeri mendapat hasilnya dan pada masa yang sama kegiatan pelanggaran syarat yang berleluasa dapat dikawal.

Maka Bengkel Pindaan ATK 1966 (Penyediaan draf tatacara permohonan dan kadar bayaran permit yang akan dikenakan ke atas premis-premis/struktur/bangunan yang didirikan dibina dengan melanggar syarat penggunaan tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara 2010 ) yang diadakan dari 05.11.09 hingga 06.11.09 di Hotel Bayview Langkawi adalah langkah awalan untuk merealisasikan cadangan penyelesaian kes-kes penyalahgunaan tanah pertanian melalui pindaan kepada ATK 1966.

Saya dan beberapa kakitangan Pejabat Tanah Sik, turut terlibat sama dalam menyumbangkan sedikit sebanyak idea untuk menjayakan bengkel tersebut. Semoga resolusi dan hasil dari bengkel tersebut akan membuahkan kesan yang besar kepada Kerajaan Negeri terutama dari segi peningkatan hasil kerajaan negeri dan kawalan terhadap aktiviti-aktiviti pelanggaran syarat-syarat tanah pertanian.
Catatan oleh:
Asri Redha
Teratak Kasih
Alor Setar

Wednesday, November 4, 2009

WARGA TEMPATAN DALANG KUARI PASIR HARAM DI SIK


PEKAN SIK - Kegiatan kuari pasir secara haram semakin menjadi­-jadi, walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering melaku­kan pelbagai operasi tanpa mengira waktu bagi mengatasi masalah tersebut. Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Sik, Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, antara faktor yang menjadi penyumbang utama kegiatan ini sentiasa berterusan kerana terdapat sesetengah kuari pasir beroperasi secara haram didalangi oleh orang tempatan.

Pentadbir Tanah Daerah Sik terpaksa turun ke padang berterusan dari masa ke semasa membuat pemeriksaan lori-lori dan juga kuari-kuari bagi memastikan operasi kuari dan pemindahan bahan batuan tersebut mempunyai permit yang sah.

Menurutnya, berpunca daripada itulah, kadang-kala operasi yang dijalankan sering menemui kegagalan kerana pihak pengusaha kuari haram seakan­-akan dapat menghidu kehadiran mereka.

"Namun begitu, alasan tersebut tidak pernah menjadi halangan kepada kami untuk meningkatkan operasi mem­banteras kegiatan kuari pasir secara haram sama ada pada hari biasa atau pun hujung minggu.

"Walaupun tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk melakukan operasi serbuan berkenaan, namun kami amat memandang serius masalah tersebut kerana kesan kegiatan itu telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat;' katanya. Mengulas mengenai kejadian jambatan runtuh ekoran kegiatan kuari pasir di Kampung Landai, Mohd Asri berkata, pihaknya sering melakukan serbuan menyita kuari beroperasi secara haram di kawasan berkenaan, namun kegiatan tersebut terus aktif.

"Setakat ini hanya tiga permit sahaja yang dikeluarkan untuk melakukan aktiviti kuari pasir di situ, dua permit diberikan kepada Bina Darul Aman Berhad (BDB), milik Kerajaan Negeri dan satu permit orang perseorangan.

"Mana-mana kuari pasir yang mempunyai permit, kita tidak menghadapi sebarang masalah, sebaliknya berbeza dengan kuari beroperasi secara haram;" katanya.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh mereka buat masa sekarang adalah dengan menyita kawasan beroperasi secara haram selain memberi amaran keras kepada pengusaha termasuk pemilik tanah kerana membenar­kan aktiviti tersebut dilaksana­kan.

"Selain itu, kami juga turut menahan mana-mana lori yang mengangkut pasir dan batuan tidak mempunyai permit sah serta tidak membayar royalti seperti ditetapkan oleh Aturan Tanah Kedah.

"Jika kes tersebut disabitkan kesalahan oleh mahkamah, hukuman maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun boleh dikenakan atas kesalahan membawa keluar bahan batuan tanpa permit yang sah," katanya.

Katanya, dalam perkemban­gan terbaru pihaknya juga telah menahan sebuah lori yang gagal menunjukkan permit sah sewaktu mereka mengadakan operasi pada awal pagi 1 November 2009 di Pekan Gulau.

"Lori berkenaan dipercayai membawa muatan pasir yang dikorek sekitar kawasan Landai untuk dihantar ke satu destinasi lain. Namun pihak kami berjaya menahan lori berkenaan pada jam 6.50 pagi setelah mengada­kan operasi seawal jam 4 pagi di situ.

"Sewaktu ditahan, pemandu lori berkenaan cuba untuk mengeluarkan muatan yang dibawa namun tidak berhasil dan kami telah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan dan pemandu lori dilepaskan dengan jaminan pihak polis," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini sahaja sebanyak enam permit kuari pasir telah ditarik balik kerana pengusaha kuari me­langgar syarat-syarat yang ditetapkan sewaktu perjanjian. Walau bagaimanapun kuari ini dibenarkan dibuka kembali setelah membuat rayuan namun pengusaha perlu membayar deposit lebih tinggi iaitu RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini selain perlu mematuhi syarat-syarat lebih ketat. Deposit sedia ada dirampas.

"Set:akat ini, hanya terdapat 18 kuari pasir dan tiga kuari batu yang mempunyai permit aktif beroperasi secara sah di sekitar kawasan daerah Sik selebihnya kegiatan kuari secara haram," katanya.

Sinar Harian turut meminta komen beliau berkenaan bantahan penduduk Kampung Lahar yang meminta kerja-kerja kuari Pasir disepanjang Sungai Kuala Muda dihentikan setelah 12 tahun beroperasi.

Katanya kuasa pemberian atau proses tarik balik permit pengusaha kuari berkenaan adalah dibawah bidang kuasa Pejabat Tanah Kuala Muda, walaupun yang menjadi mangsa keadaan adalah penduduk disebelah Sik.
"Namun begitu, pihak kami tidak memandang ringan perkara berkenaan dan turut menasihati pengusaha tersebut supaya mengambil kira kepentingan masyarakat setempat jika kerja­-kerja tersebut terus dijalankan.

"Masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka untuk menyekat kegiatan operasi kuari pasir haram ini dengan cara membeli atau mengambil pasir dari tempat mempunyai permit sah serta dibawa oleh lori yang telah membayar royalti," katanya.

Mohd Asri Redha berkata, PBT daerah ini amat serius ber­hubung penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan kuari pasir beroperasi secara haram, dan hasil perbincangan satu Jawatan Kuasa Penguatkuasaan Peringkat Daerah Sik akan ditubuhkan . Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan sendiri oleh Pegawai Daerah Sik, dan antara jabatan yang akan bekerjasama seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sik, Perhutanan, Jjabatan Pengairan Dan Saliran, (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Daerah Sik (MDS)

Petikan dari Akhbar Harian Sinar pada 04 November 2009

Saturday, October 31, 2009

KeMbArA LaTa LeMbU EmAs

Kalau selalu bergelumang dan bekerja di ofis, kadang-kadang 'tension' juga..Ya lah asyik memikirkan fasal kerja aje, apa nak dibuat, apa yang diarah, apa yang kena arah, apa yang kena peringatkan, apa yang kena diselesaikan dan macam-macam lagi....Kita sentiasa diburu dengan tugas yang sentiasa `menanti dan masa yang terhad..namun serajin mana kita berusaha, kerja yang menanti tidak akan selesai...

Abu Hurairah menyahut cabaran

Sebagai alternatif untuk menenangkan fikiran dan sekaligus untuk kesihatan diri juga maka saya telah berpakat dengan beberapa orang anak buah untuk masuk satu pertandingan yang dinamakan 'Kembara Lata Lembu Emas' di Bendang Man, Daerah Sik pada 31 Oktober 2009. Program ini anjuran Pejabat Daerah Sik, Pejabat Belia Dan Sukan, Jabatan Hutan dan beberapa jabatan lagi yang terlibat. Bagus juga ada anak-anak buah mau ikut serta aktiviti gila-gila sikit ni.

Memang mencabar laluan kembara ini sepanjang 12 KM yang melibatkan para peserta terpaksa mendaki bukit melalui denai-denai sempit dan merbahaya dan seterusnya terpaksa pula menuruni bukit yang terlalu amat curam dengan hanya berpegang kepada akar-akar dan pokok menjalar sahaja untuk berpaut. Silap berpaut boleh terjun ke dalam jurang yang dalam... Apatah lagi sehari sebelum itu hujan amat lebat menjadikan laluan terlalu amat becak, hinggakan ada yang terlekat kaki dan kasut kedalam 'kelebor' yang dalam..Pacat apa lagi khenduri sakan, rezeki datang menggolek. Tidak hairanlah dalam pasukan saya, habis rosak tapak kasut yang baru dibeli pula...Sayapun tidak menjangka keadaan laluan sebegitu teruk, kerana 8 tahun sebelum itu saya pernah mengikut program ini, tapi tidaklah seteruk pada hari ini. Ada pasukan yang ahlinya yang pitam dan ada yang mengalami kemalangan..Masanya yang diambil hampir 5 jam. Sesungguhnya bukan kemenangan yang diburu tetapi kepuasan hakiki yang dicari.
Berehat mengambil angin beroksigen tinggi di sungai mengalir lesu. Segar rasanya sambil dihiburkan oleh nyanyian penghuni hutan..

Sesungguhnya mengikuti program ini amatlah disukai oleh saya berbanding main golf kerana ia benar-benar memberi kepuasan diri walaupun terpaksa berhadapan dengan keletihan, bahaya kemalangan dan binatang liar..Kita hanya memikirkan bagaimana nak 'survival' dalam hutan dara ini..Lupa segalanya kepada dunia luar...lupa fasal kerja..


CAtatan Oleh: Mohd Asri Redha

Tuesday, September 1, 2009

MerDeka : Apa maknanya Merdeka ..

31 Ogos 2009 genaplah usia kemerdekaan Malaysia yang ke 52. Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52. Secara kebetulan pula pada tarikh tersebut jatuh 10 Ramadhan . Bermakna sambutan dalam puasa.

Saya rasa pada tahun ini agak tidak terasa kemeriahannya sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Saya rasa bulan puasa bukan penyebabnya...........nantilah saya akan sambung lagi kenapa dan apa penyebabnya......... cuma nak intro saja dulu.


Gambar-gambar diatas adalah sebahagian dari akvititi saya dalam kempen-kempen pemasangan Jalur Gemilang dan kempen mengingati Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia.
atas kiri: Saya terlibat dalam kempen memasang jalur gemilang dikenderaan disekitar Jerlun, Kubang Pasu. Atas tengah: Rombongan bermotosikal beramai-ramai mengelilingi Pulau Langkawi dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan singgah di Underwater World Langkawi. Atas kanan: Bersama Dato' Pegawai Daerah Langkawi dan Dato Pengurus Besar Lada dalam pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Langkawi.

Saya terasa hendak berdiskusi dengan saudara-saudara semua berkenaan dengan semangat kemerdekaan ini. Bukannya ada apa cuma kadang-kadang tu rasa kerisauan juga bila melihat dan mendengar pelbagai isu yang berkaitan perkembangan semasa seperti isu perlembagaan, isu perkauman, isu politik semasa dan sebagainya.

Sudah kedengaran disana sini sebahagian kecil rakyat Malaysia yang meminta supaya perlembagaan Malaysia di pinda secara total keseluruhannya, begitu isu kedudukan raja-raja melayu telah mula dipertikaikan, isu kuota melayu telah mula juga disindir-sindir dan diperlecehkan dan sebagainya. Perjuangan orang dahulu samada orang Melayu, India dan China dalam menuntut kemerdekaan telah tidak dihargai lagi oleh mereka. Mereka telah mula lupa tentang kerjasama dan akujanji antara kaum yang telah dipersetujui bersama dulu dalam menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada penyediaan perlembagaan Malaysia yang masih kita gunapakai sehingga hari ini...semua ini gara-gara kurangnya maklumat dan pengetahuan berkenaan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia itu sendiri.

Saya menyedari perkara ini jika dibiarkan berterusan tanpa ditangani dengan bijaksana oleh kerajaan dan rakyat yang tulin ianya akan menjahanamkan negara Malaysia yang tercinta ini. Kita harus ingat, negara ini adalah negara yang mempunyai pelbagai kaum, ugama, bangsa, budaya, adat, bahasa dan pelbagai perbedaan lagi. Bila-bila masa sahaja boleh mencetuskan percikan api perbalahan antara satu sama lain. Sedangkan negara yang mempunyai bangsa dan agama yang samapun asyik berbunuhan antara satu sama akibat perbedaan pendapat, inikan pula negara seperti Malaysia. Tetapi Alhamdulillah syukur setelah 52 tahun kita merdeka tidak banyak isu-isu besar itu kita hadapi. Kalau adapun hanyalah secara kecil-kecilan dan kerajaan cepat bertindak dengan peruntukan undang-undang yang ada seperti ISA dan sebagainya.

Generasi baru selepas 20 tahun merdeka kebanyakannya kurang memberi perhatian lagi tentang kemerdekaan negara. Kehidupan mereka sekarang ini segala-galanya mudah, senang dan dilingkungi oleh kemewahan yang pelbagai hasil daripada kemerdekaan yang kita capai...
Semua ini membuatkan mereka lupa asal usul dan akhirnya akan menuntut pelbagai tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah atas nama kebebasan, atas nama kesamarataan, atas nama merit, atas nama hak asasi manusia dan sebagainya yang akhirnya tidak disenangi oleh pihak lain. Semua ini akan menjurus kepada ketegangan yang boleh menjahanamkan negara ini. Generasi baru sudah lupa akan persetujuan bersama antara kaum semasa menuntut kemerdekaan dan merangka perlembagaan. Dalam perlembagaan Malaysia walaupun dirangka lebih 45 tahun yan lalu namun ianya masih tetap relevan sehingga kini kerana didalamnya mengandungi pelbagai perkara yang mempunyai falsafah yang tersendiril. Terima kasih kepada penggubal perlembagaan tersebut. Kerana berpegang kepada perlembagaan tersebutlah negara kita Malaysia tetap aman makmur sehingga kini. Nah, kalau sudah terbukti begitu mengapa kita terbawa-bawa dengan puak-puak yang memang mengambil kesempatan untuk menjahanamkan Malaysia ini. Kadang-kadang orang Melayu sendiri sudah mula mempertikaikan kuota melayu, institusi kesultanan dan lain-lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Mereka sudah mula lupa keintelektualan dan kekayaan yang mereka perolehi tersebut adalah hasil dari dasar-dasar yang diterjemahkan dari Perlembagaan Malaysia..mereka lupa segalanya disebabkan mereka sudah berjaya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan status mereka dan menganggap mereka sudah mampu menghadapi persaingan dalam dunia yang terbuka luas ini. Mereka lupa segala-galanya. Mereka lupa bahawasanya ramai orang melayu yang merempat dinegara sendiri, mereka lupa orang melayu yang ketinggalan jauh dalam pendidikan , mereka kira mereka sahaja. Inilah orang yang tidak mengenang budi dan jasa negara kepada mereka.

Saya adalah anak merdeka yang lahir setelah 4 tahun negara merdeka. Namun saya masih tetap merasai akan kesusahan yang dihadapi pada awal-awal 15 tahun merdeka. Bagi rakan-rakan yang seangkatan dengan saya pasti boleh terkenang kembali akan apa yang akan saya cerita kan ini berkenaan zaman silam kita dulu...

Saya masih teringat lagi persekolahan saya semasa di sekolah rendah yang terletak 1.5 km dari rumah saya di Kg Kabu 10, Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. waktu itu mana ada lagi bekalan elektrik. Belajar hanya menggunakan pelita minyak gas, kadang-kadang pelita chimney dan sekali-sekala orang tua saya pasang pelita gasolin. Sekarang ini susah nak cari pelita chimney dan gasolin. Kalau ada pun sudah jadi barang antik kegunaan orang-orang kaya...Tapi saya memang pakar bab pasang pelita gasolin..terangnya sama dengan lampu elektrik 100 wat.
Berbanding dengan sekarang ini anak-anak saya mudah saja belajar, petik saja sudah boleh baca buku dan sebagainya.

Begitu juga nak seterika baju pakai seterika besi yang dibubuh arang yang dibakar. ambil masa dekat sejam dulu baru boleh guna sterika tersebut. Silap-silap seterika hancur pakaian tersebut kerana terlalu panas atau arang tersembur keluar atas baju. Nak bagi kurang panas dan licin seterika tersebut, tonyoh atas daun pisang, barulah ok.... Itulah pengalaman manis yang anak-anak saya tidak akan merasainya lagi. Nak cari TV tidak adalah lagi waktu tersebut. Bapa saya ada juga beli dynamo elektrik pakai engin kubota yang diguna untuk tenggala bendang. Bunyi dengan satu kampong punya kuat.Tapi tidaklah dipasang selalu cuma sekali-sekala sahaja untuk tengok cerita melayu dan perlawanan tinju waktu itu Muhamad Ali memang cukup terkenal. kerja saya kutip duit kat orang kampong sapa yang nak tengok. Kutip sekupang sahaja. TV waktu itu hanyalah hitam putih sahaja.... Satu lagi cerita yang menarik yang masih lagi dalam ingat ialah cerita koboi 'High Chapparal'

Infrastruktur waktu itu memang terok sekali. Mana ada jalan mini tar lagi, Jalan besarpun tidak ada lagi. nak cari kereta waktu tu jauh sekali, kerana jalan tidak ada. Kalau nak pergi ke Simpang Tiga kena lalu tepi jalan sungai sahajalah. Kalau hujan habis kelebor dan becak. Kalau kesekolah hanya berkaki ayam sahaja berjalan kaki 1.5 km. kalau pakaipun tidak ada gunanya..Ada satu ketika saya hanya pakai kasut putih plastik ke sekolah dan stokinpun guna yang lama-lama dan untuk elak stokin turun kebawah saya pakai getah untuk ikat diatasnya. kerana getah yang ada kat stokin dah kendor. Bukan senang nak beli baru...

Masih segar dalam ingatan saya lagi waktu tersebut tidak ada lagi bekalan air paip. Saya dan keluarga masih guna telaga yang letaknya lebihkurang 50 meter dari rumah. Paling takut waktu pagi, sudahlah sejok , jauh pula dari rumah dan telaga itu duduk tepi hutan belukar, silap-silap haribulan boleh terpijak ular khatam tebu atau ular kapak yang banyak sekali waktu itu. Nak cari lampu suluh bukan senang waktu itu. cuma bawa pelita minyak gas sahaja ke telaga untuk mandi. Untuk buang air besar pula saya kena pergi kat jamban yang dibuat diatas parit kecik sempadan tanah. Di bawah jamban itu sudah menunggu dengn setia ikan puyu dan kura-kura untuk menjamu selera dengan najis yang kita akan buang. Kadang-kadang air parit terpercik sampai ke muka disebabkan besarnya buang benda itu. Paling takut kalau nak terberak waktu malam.... sebab jamban bukan duduk dalam rumah seperti sekarang ini.

Dari segi permainan yang saya terlibat masa itu memang banyak dan kadang-kadang memang merbahaya sekali. salah satu permainan yang memberi kesan kepada saya sehingga sekarang ialah main perang bersama rakan-rakan. habis satu kampung riuh rendah dengan perang yang kami aturkan. Malangnya main perang ini telah meninggalkan kenangan pahit kepada saya. Main perang ini menggunakan senapang kayu guna peluru bemban dan buah baru. Salah satu peluru bemban kawan saya telah hinggap di mata kanan saya. Kelam dan gelap serta merta dan keadaan itulah yang saya alami dan deritai sehinggalah ke hari ini. Saya telah mengalami cacat penglihatan....segala-galanya hancur. macam-macam difikirkan waktu itu...namun untuk apa dikesalkan atas perbuatan diri sendiri yang tidak mendengar cakap dan nasihat ibu bapa....kecacatan inilah kadang-kadang menimbulkan rasa rendah diri saya yang teramat sangat dan kadang-kadang menjadi murung...Namun kehidupan perlu diteruskan.... Kecacatan inilah juga yang menjadikan saya lebih tabah dan cuba berusaha untuk membaiki diri saya. Saya bukanlah seorang yang pandai disekolah. Kalau disekolah rendah biasanya dalam peperiksaan tahun duduk dalam nombor 30 ke 40 lah...sapapun tidak pandang saya malahan ibu dan bapapun tidak mengharapkan apa-apa dari saya..Memang tidak pandai. Hanya disekolah menengah sahaja saya mula berubah sedikit bila dapat kemalangan itu pada tingkatan 1. Barulah ada kesedaran sikit, walaupun suasana disekolah menengah ketika itu tidak begitu memberangsangkan dan tidak ada saingan maka pencapaian saya tidaklah memberangsangkan walaupun SRP dapat 10 unit tapi tidak pergi kemana, kerana tidak tahu nak pergi ke mana, tidak ada sapa yang tolong guide waktu tu, maka duduklah di SMY itu juga. Jadi masa SPM hanya mampu dapat gred 2 sahaja. Itupun dikira murid terbaik juga ketika itu di SMY.. lawak juga..

Banyak lagi permainan yang ada waktu itu yang mana semuanya reka sendiri aje..kotak rokok kosong boleh buat mainan, buluh boleh buat cak plong, pokok jambu biasa dipotong untuk ambil kayu buat gasing besar, dan hampir putus jari telunjuk kiri saya akibat terkena pisau masa buat gasing, buah gorah, buah getah semuanya boleh jadi kerja. Daun nipah boleh buat macam seperti anak panah... seronok sungguh waktu itu main macam-macam. Itu tidak kira lagi permainan bahaya lain seperti main meriam buluh, meriam tanah dan mercun besar...mainan ini silap-silap haribulan boleh cacat lagi badan kalau tidak bernasib baik...pernah saya korek peluru senapang patah yang masih lagi hidup untuk ambil biji kacang besi yang ada dalam peluru tersebut. nasib baiklah peluru tersebut tidak meletup, kalau tidak tak tahulah jadi macam mana..Kiranya saya ni memang buas jugalah kat kampong..buas cara kamponglah...jangan salah sangka lain pula.

Saya juga teringin nak cerita zaman itu cukup seronok dapat tangkap ikan dengan macam-macama cara dan itu semua dialami sendiri seperti tahan taut, pakai tangkul, timba parit cari ikan dan belut, merelau waktu malam pancing ikan haruan besar, pakai serkap dan sebagainya. Semuanya itu payah nak cari lagi zaman ini. Lagi seronok bila dapat buru burung puyuh dipadang selepas waktu mengerat padi, tangkap burung ruak-ruak guna perangkap dibuat daripada buluh.

Ada satu lagi permainan yang ada waktu itu ialah main wau..ada wau ketek, wau bulan, wau kangkang dan sebagainya...cantik nampak suasana langit bila waktu main wau. Sejuk telinga dengar dengongan dari wau yang dibuat dari daun mengkuang. semuanya hanya menggunakan peralatan yang ada dipersekitaran kampong sahaja. gam pun buat sendiri pakai tepong ubi, pokoknya segala-galanya mengajar kita lebih kreatif.

Saya pernah bekerja dibendang, memukul padi, mengerat padi, cabut anak semaian, menguroi dan sebagainya. Pokoknya apa saja kerja bendang memang saya telah alami dan buat sendiri. Betapa seronoknya dapat bela kerbau yang digunakan untuk tarik anor untuk bawa guni padi ketepi sungai. Dari sungai pula bawa guni padi tersebut naik tongkang ke kilang padi yang terletak tepi sungai di pekan Sungai Limau. Kalau tongkang buruk saya pasti akan cari paku yang ada kat tongkang tersebut untuk buat paku gasing. Memang kuat dan tahan gasing tersebut. Sekarang sudah tidak ada lagi kerja-kerja seperti itu, semuanya pakai mesin dan terus bawa naik lori masuk ke kilang.

Malangnya kerbau yang saya bela itu telah disembelih oleh bapa saya pada waktu dekat nak raya. Bapa jual daging kerbau di pekan khamis, sayapun kadang-kadang tumpang juga jual daging kerbau pakai kati waktu itu. Agak sedih juga mengenangkan kerbau yang jadi rakan baik saya waktu itu, apatah lagi bila teringat duduk atas belakang kerbau bawa pergi makan rumput dipadang. Kerbau itu jinak benar.

Oklah saya pun banyak sangat cerita fasal kisah lampau selepas merdeka. Bukannya ada apa seronok dan sedih juga bila teringat zaman waktu itu. Saya tidak pandai untuk merakam semua itu dalam bentok gambar sepertimana katunis Lat buat dalam cerita Lat di Kampong Boynya...waktu itu juga mana nak cari kamera untuk rakamkan itu semua. Kalau ada senanglah nak cerita kat anak-anak. Ini anak-anak tidak berapa nak percaya bila saya cerita bab-bab itu. Mereka tidak berapa faham akan apa yang saya alami sendiri waktu zaman kanak-kanak dan remaja.

Saya amat bersyukur berada dalam 2 zaman yang 'totally different' Satu zaman yang betul-betul dhaif dan satu zaman moden yang berasaskan sains dan teknologi. Saya boleh menilai antara keduanya dan dapat merasainya. Namun saya rasa 25 tahun selepas merdeka dan seterusnya perubahan yang berlaku tidak begitu ketara sangat. Kemudahan-kemudahan sudah ada pada waktu dan samalah seperti sekarang cuma ianya lebih canggih dan moden sesuai dengan perkembangan semasa.

Anak-anak zaman sekarng ini amat beruntung kecil-kecil lagi sudah boleh tidor dan makan dihotel 5 bintang seperti anak-anak saya. Seingat saya waktu bekerja baru rasai duduk nginap dihotel seperti itu. Masuk KFC pun semasa duduk di Universiti, baru tau nikmatnya ayam goreng KFC berlainan goreng ayam yang kita selalu makan. Anak-anak sekarang umur 2 tahun dah masuk KFC....Permainan semua canggih tapi kena beli semuanya. Kesekolah pula dengan kereta. kalau tidak ada keretapun dikampong boleh dikatakan 80 peratus pergi kesekolah menaiki motosikal...tengoklah digaraj-garaj sekolah bersusun motosikal yang baru-baru pula tu...rasanya sebahagian besarnya tidak ada lesen memandu, tapi itulah keadaannya di kampong-kampong. Lewat ambil anak sikit kat sekolah mereka sudah pandai merungut pada ibu bapa mereka berbanding dengan saya dulu pukul 4 petang baru sampai rumah, naik bas dan berjalan kaki pula. Pi sekolah petang, pukul 10.00 pagi sudah keluar rumah untuk ke sekolah.

Saya cerita kesenangan yang dikecapi oleh anak-anak zaman sekarang ini agar mereka kena menghargai apa yang ada dan menghargai kesusahan orang-orang terdahulu yang membuatkan mereka menikmati kesenangan pada hari ini...jangan lupa itu...sentiasa kena diperingatkan selalu kepada mereka agar mereka tidak membuat sesuatu yang merosakkan agama, bangsa dan negara kita.

Sebab itu saya merasa amat sedih sangat bila pembangunan sosial dan ekonomi semakin pesat berlaku sekarang ini kita hendak hancorkan dengan mempertikaikan apa yang telahpun ujud sejak merdeka. Anak-anak muda sekarang tidak lagi menghargai sejarah negara, golongan pejuang kemerdekaan Malaysia tidak lagi dihargai. Ada setengah cuba mengubah sejarah yang memang telah nyata dan berfakta lagi...Inilah yang berlaku sekarang bukan setakat anak-anak muda sekarang malahan generasi terdahulu yang sebaya sayapun ada yang cuba bertindak demikian disebabkan ketidakpuasan hati yang sayapun tidak tahu apa sebabnya. Nak kata duduk di Malaysia tidak boleh cari makan tidak juga, tidak selamat tidak juga, kebebasan dihalang tidak juga, tidak ada kuasa tidak juga....pokoknya tinggal di Malaysia ini cukup bebas, cukup makmur, cukup selesa, cukup segala-galanya cuma kena rajin dan kreatif sedikit Insya Allah tidak akan merempat duduk di Malaysia ini....Nak berpolitik, masuklah mana-mana parti politikpun tidak kisah. tidak ada siapa yang halang untuk terlibat dalam politik asalkan bukan fahaman komunis...pokoknya kalau nak berpolitik kenalah terima hakikat kekalahan dan kemenangan.

Oleh itu kita sebagai ibubapa kenalah setakat yang termampu didik anak-anak supaya menghargai erti kemerdekaan itu. Sekurang-kurang setahun sekali, kerajaan anjur pasang bendera dikereta dan dipremis rumah maka pasanglah , apa yang susahnya. Bagi anak-anak tengok apa yang kalut sangat bapa mereka dok pasang bendera, bila anak tanya ceritalah kepada mereka fasal kemerdekaan. Ini apa yang saya dapati bila waktu saya buat kempen pasang bendera di kereta ada tidak bagi pasang takut calar cat atau cermin kereta mereka. Itu nak bagi free. Kalau kena beli tau-tau sahajalah. Begitu juga pasang bendera dirumah , puas kerajaan berkempen dalam media minta pasang bendera, itupun berapa kerat sangat yang benar-benar prihatin. Yang lain tunggu bendera free diberi kepada mereka..Macam inikah sikap kita sebagai rakyat Malaysia yang kita kata kita sayang ini. Itu baru fasal pasang bendera..tidak kira yang lain-lain lagi..Jadi kerajaan habis berjuta RM untuk tujuan kempen mengingati kemerdekaan ini agar rakyat tidak lupa betapa berertinya kita merdeka. Bukan senang hendak merdeka dan bila merdeka belum tentu sesebuah negara boleh maju. Berapa banyak negara yang merdeka tetapi pembangunan masih macam zaman sebelum dan awal merdeka seperti yang saya cerita tadi..

wah..sudah lewat pula nampaknya, kurang lebih jam 2.0 pagi ni. saya rasa baik saya berhenti sahaja dulu celoteh saya kat sini. Walaupun saya kurang mengantuk lagi mungkin kerana tadi saya ada minum kopi 5 in 1 ada tongkat ali lagi, itu yang buat mata kurang letih. Saya tidak boleh layan sangat rasa kurang mengantuk ini sebab nanti saya mahu bangun sahor lagi. Nasib baik masuk hari Jumaat, cuti bolehlah lanjutkan tidor nanti selepas syolat subuh. so saya undur diri dulu, selamat tidor....harap dalam mimpi nanti dapat idea lain untuk cari tajuk apa lagi ya yang ndak dikupasi.

Thursday, August 27, 2009

LAWATAN KERJA PEGAWAI KANAN KERAJAAN NEGERI KEDAH DA KE SINGAPURA DAN PULAU BATAM, INDONESIA

Singapura : 29.1.2004

Setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pandangan dan pendapat semua pihak. Disamping itu pengalaman yang diraih dari lawatan-lawatan ke luar negeri amat berharga. Dengan itu barulah keputusan yang dibuat akan membuahkan hasil yang terbaik. Justru itulah maka pada 28.1.2004 kerajaan negeri Kedah telah menghantar sekumpulan Pegawai Tadbir Negeri Kedah ke Singapura untuk meninjau pembangunan di sana dan Pulau Batam Indonesia.

Perbincangan khas bersama YAB Menteri Besar Kedah DA dengan pegawai kanan Kerajaan Negeri Kedah diadakan di dewan mesyuarat Hotel Penginapan. Disebelah penulis ialah Allahyarham Hj Hashim Ismail, yang telah meninggal dunia sewaktu menjawat Jawatan Pegawai Daerah Kota Setar..

Pengalaman dan suasana yang diperolehi ini telah membolehkan banyak idea-idea baru dicurahkan untuk kepentingan pembangunan negeri Kedah. Perbincangan dan percambahan fikiran diadakan bersama-sama semua 45 orang peserta rombongan dengan diketuai oleh YB Dato’ Wira Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Pada 29.01.04 rombongan telah mengambil kesempatan membuat lawatan ke Pulau Batam Indonesia. Dalam lawatan tersebut rombongan telah melawat BIDA (Batam Investment Board ) di mana telah diberi taklimat mengenai peranan BIDA dalam pembangunan pulau Batam dan peluang pelaburan yang terdapat di situ. Antara bidang yang berpotensi di pulau Batam ialah dalam bidang pembangunan infrastruktur fizikal, ‘water disposal treatment’, ‘development of mass transportation’, pembangunan tapak perkhemahan, perikanan, ‘tourism’ dan lain-lainnya dengan jaminan kemudahan proses pentadbiran untuk kelulusan dan juga harga tanah yang masih lagi murah.

Di samping itu rombongan juga telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat Walikota Pulau Batam (Batam Mayor Office Building) iaitu Bapak Nyak Kadir.. Taklimat telah disampaikan oleh bapak Walikota Pulau Batam sendiri dan sessi soal jawab telah diadakan. YB Dato Wira SUK sendiri telah menyarankan supaya perbincangan lebih lanjut perlu diadakan dalam mendekatkan perhubungan antara Kedah/Pulau Langkawi dengan PulauBatam. Ini boleh diadakan dengan cara penerbangan terus dari Alor Setar/Langkawi dirancang sepertimana yang telah dibuat antara penerbangan dari Alor Setar ke Medan, Indonesia. Dengan cara ini ianya akan lebih mendekatkan lagi talian persaudaraan antara kedua negeri yang sedia terjalin disamping menggalakkan pelancungan yang lebih rancak antara kedua negeri.

Perjalanan feri dari jeti di Waterfront City Singapura ke Jeti Sekupang Pulau Batam mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan.

Pada sebelah petangnya di hotel penginapan iaitu Hotel Meritus Singapura, satu majlis ramah mesra pegawai kanan kerajaan negeri Kedah dengan Pengusaha-pengusaha pelancongan Singapura telah diadakan. Tujuan majlis ‘high tea’ diadakan ini adalah untuk memperkenalkan produk-produk pelancungan negeri Kedah kepada syarikat-syarikat pelancungan tersebut.

Dengan cara ini mereka akan lebih termaklum akan keunikan negeri Kedah dan banyak produk-produk pelancungan dinegeri Kedah yang boleh menarik perhatian pelancongan. Dengan itu mereka akan lebih giat mengatur program-program pelancungan dan lawatan ke negeri Kedah. Lebih kurang 12 syarikat pelancungan Singapura telah hadir dalam majlis ‘high tea’ tersebut dan mereka dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Badan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah yang didatangkan khas dari negeri Kedah.

Mengambil kesempatan dari lawatan ini satu perbincangan khas telah diadakan diantara semua yang hadir dengan dipengerusikan oleh YB Dato’ Wira Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah iaitu Dato Wira Ku Nahar b. Ku Ibrahim. Antara agenda yang dibincangkan ialah persiapan lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia ke Kedah pada 3.2.2004, perbincangan peranan Pegawai Daerah, peranan group khas pilihanraya umum dalam kalangan Pegawai Tadbir Negeri Kedah, penubuhan pasukan bantuan khas bencana alam dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri dan lain-lain perkara am. Banyak dea-idea baru telah diketengahkan dalam perjumpaan tersebut

catatn oleh: RedzA