Wednesday, November 25, 2009

URUSAN PINDAHMILIK TANAH ANDA AKAN SELESAI DALAM TEMPOH 2 JAM....SILA TUNGGU

Hotel A Famosa Resort,
Melaka
25 November 2009

Kerajaan berusaha bermacam-macam cara dan pendekatan dalam memberi kesenangan kepada rakyat dan mempermudahkan rakyat membuat sebarang urusan dengan kerajaan. Sesuai dengan moto kerajaan yang memberikan keutamaan kepada RakYaT.

Perbincangan dalam bengkel bersama dengan PTD Kedah yang turut sama hadir.

Pentadbiran Tanah tidak terlepas dari menerima tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.  Atas hasrat tersebut saya berusaha hadir juga dalam Konvensyen Pentadbir Tanah Seluruh Malaysia yang diadakan di Hotel A Famosa Resort, Melaka bermula dari 22 November hingga 25 November 2009. Konvensyen ini dirasmikan sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

Fokus utama konvensyen ini ialah membuat rumusan bagaimana untuk melaksanakan 'kaunter ekspress' segala urusan yang berkaitan dengan urusniaga dan bukan urusniaga tanah dimana bengkel telah membuat 'kenyataan bersama' untuk melaksanakan urusan pendaftaran dan pengembalian dokumen dapat diselesaikan pada hari yang sama. Dalam beberapa transaksi tertentu seperti pindah milik tanah, gadaian tanah, melepas gadaian tanah dan sebagainya boleh dilaksanakan dengan segera dan ada setengah-setengah pejabat tanah telah membuktikan hanya mengambil masa kurang dari satu jam jika dokumen lengkap dikemukakan.

Pelaksanaan 'kaunter ekspress' seperti ini memerlukan transformasi dalam pentadbiran tanah terutama dalam memastikan semua kakitangan terlibat memahami sepenuhnya hasrat kerajaan dalam memberi kesejahteraan kepada rakyat. Sikap dan cara bekerja perlu berubah.

Dalam hal ini saya juga akan cuba melaksanakan kehendak kerajaan dan memastikan setiap urusniaga tanah dapat diselesaikan pada hari yang sama. Semuanya ini sebenarnya terletak kepada keikhlasan setiap kakitangan untuk bertindak sebaik mungkin seperti mana yang diarahkan. Benda baik orang arah , laksanakan sahajalah sekadar yang termampu,  Hendak SeribU DayA, Tidak HendaK SeriBu DaliH.....

Bye..jumpa lagi...

Friday, November 6, 2009

Adakah DalaM TempoH SetahuN LagI AkaN AdA PerubahaN PeningkataN Hasil KerajaaN?


06 November 2009
Hotel City Bayview Langkawi
Sejak sekian lama didapati banyak tanah-tanah berhakmilik yang bersyarat pertanian tetapi telah disalahgunakan oleh tuan tanah untuk digunakan bagi maksud lain dari syarat yang dibenarkan oleh peruntukan Kanun Tanah Negara. Pelanggaran syarat kegunaan tanah ini telah banyak menguntungkan tuan tanah atau bangunan sedangkan kerajaan mengalami kerugian yang begitu banyak disebabkan penyalahgunaan pengunaan tanah tersebut. Sebagai contohnya di Langkawi ada hotel bertaraf 4 bintang didirikan diatas tanah bersyarat pertanian. Kerajaan Negeri Kedah hanya dapat mengutip cukai tanah sebanyak RM8.00 sahaja sedangkan sepatutnya dengan projek seperti itu kerajaan boleh mengutip beribu-ribu RM jika tanah bersyarat hotel..Walau bagaimanapun undang-undang sedia ada tidak membenarkan cukai atau hasil dikutip seperti itu...maka berterusanlah keadaan seperti itu sehingga kini.

Saya bersama dengan sebahagian ahli bengkel yang terdiri dari wakil Pejabat Tanah Sik, JPBDD dan Majlis Daerah Sik sedang berbincang mengenai kajian kes yang diberi.

Sebenarnya banyak lagi kes-kes pelanggaran syarat kegunaan tanah pertanian seperti digunakan untuk padang golf dan pusat rekreasi, bangunan perusahaan, bangunan perniagaan, bangunan kediaman...Jika disiasat dan direkod diseluruh negeri Kedah bilangannya terlalu banyak. Mengapa perkara ini berlaku dan berleluasa tidak perlulah diungkit kisah-kisah lama...banyak persoalan dan isu yang berbangkit seperti kenapa dibiarkan perkara tersebut berlaku, mengapa penguatkuasaan tidak laksanakan dan sebagainya...Kemungkinan banyak pertimbangan politik dan faaktor kemanusian memainkan peranan dalam hal ini..Sebagai kakitangan kerajaan kita menghadapi dilema dalam hal ini. Walau bagaimanapun penyelesaian perlu dicari mengatasi masalah tersebut.


Berkisar kepada isu-isu pelanggaran syarat kegunaan tanah inilah maka satu pendekatan yang drastik perlu dilakukan segera oleh kerajaan negeri walaupun sudah agak terlewat dalam memastikan kerajaan negeri mendapat hasilnya dan pada masa yang sama kegiatan pelanggaran syarat yang berleluasa dapat dikawal.

Maka Bengkel Pindaan ATK 1966 (Penyediaan draf tatacara permohonan dan kadar bayaran permit yang akan dikenakan ke atas premis-premis/struktur/bangunan yang didirikan dibina dengan melanggar syarat penggunaan tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara 2010 ) yang diadakan dari 05.11.09 hingga 06.11.09 di Hotel Bayview Langkawi adalah langkah awalan untuk merealisasikan cadangan penyelesaian kes-kes penyalahgunaan tanah pertanian melalui pindaan kepada ATK 1966.

Saya dan beberapa kakitangan Pejabat Tanah Sik, turut terlibat sama dalam menyumbangkan sedikit sebanyak idea untuk menjayakan bengkel tersebut. Semoga resolusi dan hasil dari bengkel tersebut akan membuahkan kesan yang besar kepada Kerajaan Negeri terutama dari segi peningkatan hasil kerajaan negeri dan kawalan terhadap aktiviti-aktiviti pelanggaran syarat-syarat tanah pertanian.
Catatan oleh:
Asri Redha
Teratak Kasih
Alor Setar

Wednesday, November 4, 2009

WARGA TEMPATAN DALANG KUARI PASIR HARAM DI SIK


PEKAN SIK - Kegiatan kuari pasir secara haram semakin menjadi­-jadi, walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering melaku­kan pelbagai operasi tanpa mengira waktu bagi mengatasi masalah tersebut. Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Sik, Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, antara faktor yang menjadi penyumbang utama kegiatan ini sentiasa berterusan kerana terdapat sesetengah kuari pasir beroperasi secara haram didalangi oleh orang tempatan.

Pentadbir Tanah Daerah Sik terpaksa turun ke padang berterusan dari masa ke semasa membuat pemeriksaan lori-lori dan juga kuari-kuari bagi memastikan operasi kuari dan pemindahan bahan batuan tersebut mempunyai permit yang sah.

Menurutnya, berpunca daripada itulah, kadang-kala operasi yang dijalankan sering menemui kegagalan kerana pihak pengusaha kuari haram seakan­-akan dapat menghidu kehadiran mereka.

"Namun begitu, alasan tersebut tidak pernah menjadi halangan kepada kami untuk meningkatkan operasi mem­banteras kegiatan kuari pasir secara haram sama ada pada hari biasa atau pun hujung minggu.

"Walaupun tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk melakukan operasi serbuan berkenaan, namun kami amat memandang serius masalah tersebut kerana kesan kegiatan itu telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat;' katanya. Mengulas mengenai kejadian jambatan runtuh ekoran kegiatan kuari pasir di Kampung Landai, Mohd Asri berkata, pihaknya sering melakukan serbuan menyita kuari beroperasi secara haram di kawasan berkenaan, namun kegiatan tersebut terus aktif.

"Setakat ini hanya tiga permit sahaja yang dikeluarkan untuk melakukan aktiviti kuari pasir di situ, dua permit diberikan kepada Bina Darul Aman Berhad (BDB), milik Kerajaan Negeri dan satu permit orang perseorangan.

"Mana-mana kuari pasir yang mempunyai permit, kita tidak menghadapi sebarang masalah, sebaliknya berbeza dengan kuari beroperasi secara haram;" katanya.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh mereka buat masa sekarang adalah dengan menyita kawasan beroperasi secara haram selain memberi amaran keras kepada pengusaha termasuk pemilik tanah kerana membenar­kan aktiviti tersebut dilaksana­kan.

"Selain itu, kami juga turut menahan mana-mana lori yang mengangkut pasir dan batuan tidak mempunyai permit sah serta tidak membayar royalti seperti ditetapkan oleh Aturan Tanah Kedah.

"Jika kes tersebut disabitkan kesalahan oleh mahkamah, hukuman maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun boleh dikenakan atas kesalahan membawa keluar bahan batuan tanpa permit yang sah," katanya.

Katanya, dalam perkemban­gan terbaru pihaknya juga telah menahan sebuah lori yang gagal menunjukkan permit sah sewaktu mereka mengadakan operasi pada awal pagi 1 November 2009 di Pekan Gulau.

"Lori berkenaan dipercayai membawa muatan pasir yang dikorek sekitar kawasan Landai untuk dihantar ke satu destinasi lain. Namun pihak kami berjaya menahan lori berkenaan pada jam 6.50 pagi setelah mengada­kan operasi seawal jam 4 pagi di situ.

"Sewaktu ditahan, pemandu lori berkenaan cuba untuk mengeluarkan muatan yang dibawa namun tidak berhasil dan kami telah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan dan pemandu lori dilepaskan dengan jaminan pihak polis," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini sahaja sebanyak enam permit kuari pasir telah ditarik balik kerana pengusaha kuari me­langgar syarat-syarat yang ditetapkan sewaktu perjanjian. Walau bagaimanapun kuari ini dibenarkan dibuka kembali setelah membuat rayuan namun pengusaha perlu membayar deposit lebih tinggi iaitu RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini selain perlu mematuhi syarat-syarat lebih ketat. Deposit sedia ada dirampas.

"Set:akat ini, hanya terdapat 18 kuari pasir dan tiga kuari batu yang mempunyai permit aktif beroperasi secara sah di sekitar kawasan daerah Sik selebihnya kegiatan kuari secara haram," katanya.

Sinar Harian turut meminta komen beliau berkenaan bantahan penduduk Kampung Lahar yang meminta kerja-kerja kuari Pasir disepanjang Sungai Kuala Muda dihentikan setelah 12 tahun beroperasi.

Katanya kuasa pemberian atau proses tarik balik permit pengusaha kuari berkenaan adalah dibawah bidang kuasa Pejabat Tanah Kuala Muda, walaupun yang menjadi mangsa keadaan adalah penduduk disebelah Sik.
"Namun begitu, pihak kami tidak memandang ringan perkara berkenaan dan turut menasihati pengusaha tersebut supaya mengambil kira kepentingan masyarakat setempat jika kerja­-kerja tersebut terus dijalankan.

"Masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka untuk menyekat kegiatan operasi kuari pasir haram ini dengan cara membeli atau mengambil pasir dari tempat mempunyai permit sah serta dibawa oleh lori yang telah membayar royalti," katanya.

Mohd Asri Redha berkata, PBT daerah ini amat serius ber­hubung penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan kuari pasir beroperasi secara haram, dan hasil perbincangan satu Jawatan Kuasa Penguatkuasaan Peringkat Daerah Sik akan ditubuhkan . Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan sendiri oleh Pegawai Daerah Sik, dan antara jabatan yang akan bekerjasama seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sik, Perhutanan, Jjabatan Pengairan Dan Saliran, (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Daerah Sik (MDS)

Petikan dari Akhbar Harian Sinar pada 04 November 2009